GUNA pendekatan memberi nasihat.
GUNA pendekatan memberi nasihat.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Hubungan ibu bapa dan anak yang rapat dicirikan dengan pertalian emosi berkualiti yang saling dirasai serta kekal. Hubungan yang rapat ini penting untuk mengelakkan anak daripada terjebak gejala negatif seperti lari dari rumah, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, jenayah, gengsterisme dan perlakuan seks luar nikah.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, ada beberapa cara menarik yang boleh dicuba ibu bapa bagi menjalin hubungan rapat dengan anak. Antaranya:

1. Secara umum, pada usia tujuh hingga 13 tahun, anak dididik supaya berdisiplin. Pada usia 14 hingga 21 tahun pula, ibu bapa perlu menjadikan anak mereka sebagai rakan.

Ibu bapa perlu membimbing dan bukannya membuat keputusan untuk anak remaja mereka. Apabila ibu bapa bersifat memerintah atau mengarah, anak remaja akan menjauhkan diri daripada kita.

Ia sekali gus membuatkan mereka lebih selesa merujuk setiap masalah yang dihadapi bersama rakan bukan ibu bapa.

2. Jika boleh ibu bapa perlu mengelakkan diri daripada memarahi anak atas sikap mereka yang kurang menyenangkan, sebaliknya gunakan pendekatan memberi nasihat.

Tidak perlu panjang lebar. Hanya cukup untuk menyampaikan mesej berunsur nasihat. Nasihat yang berjela akan menjadi bebelan pada pandangan anak dan mereka akan menutup telinga daripada mendengar percakapan anda.

3. Kita perlu meyakinkan anak untuk menerima diri mereka seadanya. Mereka sempurna dan tidak perlu untuk berasa rendah diri. Keyakinan diri penting untuk kejayaan mereka kelak.

4. Kadangkala, anak remaja sengaja menguji reaksi ibu bapa terhadap salah laku mereka. Justeru, ibu bapa perlu bijak untuk menanganinya.

Tunjukkan kewibawaan anda sebagai seorang ibu atau bapa. Tangani salah laku mereka dengan cara paling berhemah. Jangan cepat melenting kerana cara ini menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa.

5. Remaja tidak suka diarah. Mereka lebih suka membuat keputusan sendiri dalam menentukan pilihan dan perkara yang ingin mereka lakukan.

Disebabkan itu, jika ibu bapa melarang, mereka akan tetap melakukannya. Justeru, ibu bapa perlu membantu remaja untuk membuat keputusan, tetapi bukan menentukan perkara yang perlu mereka lakukan.

6. Ketika zaman remaja mereka mudah memberontak. Sekiranya ibu bapa juga menunjukkan sifat keras terhadap sikap mereka, nescaya hubungan ibu bapa dan anak akan menjadi renggang.

Sebaliknya ibu bapa perlu bersifat tenang dalam menangani masalah ini.

7. Mungkin ada ibu bapa menghadapi masalah anak remaja terutama gadis yang cepat merajuk atau menangis apabila ditegur. Ini kerana emosi mereka masih belum stabil dan sensitif terhadap perkara yang dianggap kecil oleh ibu bapa.

Bagi remaja pula ia perkara besar. Justeru, ibu bapa perlu banyak bersabar.

8. Luangkan masa bersama anak dengan membabit­kan diri melakukan aktiviti yang sesuai usia dan minat mereka. Kongsi pengalaman dalam membina satu perhubungan yang mesra berasaskan kasih sayang dan kepercayaan.

9. Berikan anak peluang untuk belajar kemahiran tertentu dan mendapatkan keyakinan diri. Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara untuk membaiki diri, jangan mengkritik.

Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik.

10. Buat peraturan yang jelas mengenai perkara yang boleh mereka lakukan dan terangkan alasannya. Melalui cara ini, ia boleh membantu mereka membuat pertimbangan sendiri.

Tetap dan tegas dalam peraturan supaya mereka tidak ambil mudah dengan perkara yang ditetapkan. Jika tidak, mereka akan mencari alasan untuk tidak dihukum.

Jika menghukum, terangkan kepada mereka kesalahan yang dilakukan untuk mengelakkan anak mengulangi kesilapan sama. Perlu diingatkan, mungkin mereka akan membantah, namun ia bersifat sementara.

11. Jika mereka melakukan kebaikan, beri motivasi dengan menghargai apa yang dilakukan. Ini boleh menaikkan lagi semangat dan rasa dihargai.

12. Tapis bahan media khususnya daripada Internet yang sampai kepada anak anda. Remaja juga perlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan.

Bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan situasi yang digambarkan dalam media atau Internet.

13. Ibu bapa hendaklah proaktif dalam mengubah persekitaran anak-anak mereka agar menjadi lebih kondusif untuk menghadapi cabaran mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 12:18 PM