Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Seorang lelaki warga asing diberkas orang ramai selepas meragut seorang gadis yang juga penuntut universiti swasta di perkarangan tempat letak kereta universiti berkenaan di Seksyen 13, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek yang berusia 37 tahun dikejar orang ramai kira-kira 100 meter sebelum ditahan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa berjalan seorang diri sebelum didatangi suspek.

"Suspek mendekati mangsa sebelum penuntut terbabit melarikan diri kerana curiga. Suspek kemudian mengejar mangsa dan merampas telefon bimbit.

"Bagaimanapun orang ramai yang berada di lokasi menyedari kejadian selepas mangsa menjerit meminta pertolongan," katanya.

Beliau berkata,suspek kemudian berjaya ditahan tidak jauh dari tempat kejadian dan diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 12:50 PM