Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kluang: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya untuk terus memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO selagi tanggungjawab berkenaan diberikan kepadanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam membantu mengukuhkan parti di semua peringkat.

"Saya akan terus kekal memegang jawatan ini sampai tempohnya selagi tanggungjawab di hadapan.

"Saya akan bantu Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) untuk mengukuhkan parti dan perpaduan di kalangan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Pekan Rabu di sini, hari ini.

Mesyuarat itu menghimpunkan kira-kira 2,000 perwakilan dari pelbagai sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Kluang.

Muhyiddin berkata, perlu bagi UMNO menyusun langkah untuk menangani pelbagai isu membabitkan rakyat.

"Kita perlu bijaksana untuk mengatasi masalah rakyat terutama membabitkan kos hidup yang dihadapi rakyat, sosial serta keselamatan negara.

"Sebab itu dalam tempoh mendatang perlu baginya bersama-sama dan menyatakan komitmen," katanya.

Menurutnya, tidak ada niat untuk dirinya menumbangkan UMNO apatah lagi menjatuhkan maruah parti.

"Saya Timbalan Presiden UMNO yang menegakkan kerajaan dan takkan saya nak tumbangkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 3:19 PM