Petaling Jaya: Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, selaku orang nombor dua dalam parti yang ditunjangi orang Melayu itu, tidak munasabah beliau berbuat demikian.

“Saya tidak ada komplot untuk tumbangkan Perdana menteri dengan bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang)... kedua-duanya sudah nafi dan saya tidak perlu nafi atau cakap kerana saya tidak terbabit,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, beliau yang berada dalam UMNO lebih 40 tahun nekad menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden bagi meneruskan perjuangan membela orang Melayu.

Beliau seterusnya mengingatkan anggota UMNO terutama di Selangor supaya tidak mudah mengaku kalah menguasai semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Merujuk kepada pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi UMNO, Muhyiddin berkata, anggota parti terutama sayap Pemuda perlu mengutamakan soal kepentingan perjuangan parti melebihi pangkat dan jawatan disandang. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:11 AM