RAYSHA Rizrose banyak timba ilmu dengan produksi JS Pictures. FOTO Arkib NSTP
RAYSHA Rizrose banyak timba ilmu dengan produksi JS Pictures. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


KERAP mendengar cerita negatif mengenai JS Pictures membuatkan pelakon Raysha Rizrose gerun untuk bekerjasama dengan syarikat produksi milik Sheila Rusly dan pengarah Jinggo.

Bagaimanapun tanggapan negatif terbabit hilang selepas dia ditawarkan berlakon dalam drama bersiri berjudul Cindai yang kini dalam penggambaran.

Raysha atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz, 23, berkata, Sheila atau lebih mesra disapa sebagai Sis tidak akan mencari gaduh atau mengamuk dengan seseorang tanpa sebab.

"Jika difikir secara logik, kalau tidak melakukan sebarang masalah di set penggambaran dan tahu mendalami karakter yang dibawakan, takkan mereka sesuka hati nak mencari gaduh.

"Memang terbukti, memasuki minggu kedua bersama mereka, saya terkejut bagaimana orang boleh bercakap negatif mengenai JS Pictures sedangkan pengalaman pertama bekerja dengan mereka sangat manis selain menimba banyak ilmu baru," katanya.

Menurutnya, dia menyahut cabaran membawakan watak Jasmin dalam drama bersiri Cindai bagi membuktikan kemampuan lakonannya.

"Saya jatuh cinta dengan karakter ini. Saya ambil tawaran ini sebagai satu cabaran dan tolak tepi segala khabar angin mengenai produksi ini.

"Saya nak keluar daripada zon selesa dan cabar diri jadi pelakon yang lebih baik," katanya.

Selain Raysha, drama Cindai turut dibintangi pelakon Ayda Jebat, Syazuwan Hassan dan Nazim Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:31 PM