MOHD Mokhtar (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
MOHD Mokhtar (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 22 lelaki warga Pakistan dan merampas dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta di Desa Melawati, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua suspek berusia 20 hingga 45 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan selepas polis menemui 33 bungkusan heroin di dalam tiga kontena di bangunan kedai di Desa Melawati.

"Dalam serbuan pertama pada 5.30 petang, polis tahan 10 suspek lelaki selepas pemeriksaan yang dilakukan ke atas tiga kontena yang ditempatkan di hadapan bangunan kedai itu.

"Tidak sampai satu jam polis tahan 11 suspek lelaki berhampiran lokasi tangkapan pertama. Hasil soal siasat yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di kediaman di Desa Melawati," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, 33 bungkusan heroin seberat 35 kilogram dipercayai untuk pasaran luar negara dan semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 12:11 PM