MOHD Mokhtar memegang dadah dan bungkusan makanan kuda yang dirampas.
MOHD Mokhtar memegang dadah dan bungkusan makanan kuda yang dirampas.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Sebanyak 35 kilogram heroin yang berjaya diseludup masuk sindiket pengedaran dadah warga Pakistan ke negara ini dikenal pasti sebagai ‘ibu heroin’ berkualiti tinggi.

Ibu heroin atau dikenali sebagai ‘heroin base number 4’ itu mampu diproses bagi menggandakan jumlah dadah berkenaan, sekali gus memberi keuntungan kepada sindiket.

Sumber berkata, sindiket dadah itu sengaja menanam ‘ibu dadah’ itu di dalam jerami tebal selepas yakin ia mampu melepasi pemeriksaan alat pengimbas di pelabuhan.

Bagaimanapun taktik sindiket itu menyeludup masuk heroin dari Karachi, Pakistan, menggunakan tiga kontena berjaya dilumpuhkan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila 22 suspek lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Desa Melawati di sini, sejak Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan pertama jam 5.30 petang Sabtu lalu, polis menemui tiga kontena diletakkan di hadapan butik kecantikan.

Menurutnya, siasatan di dalam jerami diisi dalam kontena itu menemui 33 bungkusan dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM2.8 juta.

Beliau berkata, seramai 10 suspek ditahan ketika serbuan sebelum 11 lagi suspek lelaki diberkas sejam kemudian.

“Hasil soal siasat polis menyerbu sebuah kediaman di Ampang dan menahan seorang lagi suspek lelaki,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, suspek berusia 20 hingga 45 tahun itu menyembunyikan 33 bungkusan heroin di dalam bongkah jerami yang diisytihar kumpulan sindiket sebagai makanan kuda.

“Kegiatan penyeludupan dadah itu terbongkar selepas pasukan STING menggunakan kelengkapan khas mengimbas dadah dikenali sebagai ‘Backscatter’ sebelum menemui bungkusan dadah itu.

“Kami (polis) percaya dadah yang diseludup ke negara ini berasal dari Karachi, Pakistan. Sindiket mungkin menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan dadah jenis heroin,” katanya.

Beliau berkata, lapan daripada 22 suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan pihaknya akan menyiasat tujuan dan berapa lama mereka sudah menetap di negara ini.

Katanya, hasil pemeriksaan air kencing mendapati semua suspek negatif mengambil dadah dan mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 4:43 AM