MOHD Mokhtar (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
MOHD Mokhtar (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Polis tumpas sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Afrika dan merampas dadah jenis syabu dan kokain yang dianggarkan bernilai RM2 juta dalam beberapa serbuan berasingan semalam dan kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, enam lelaki warga Afrika berusia 20 dan 30-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan polis merampas 7.43 kilogram (kg) kokain dan 1.83kg syabu dipercayai akan diseludup kumpulan sindiket ke Kanada dan Thailand.

"Siasatan mendapati lima suspek mendakwa penuntut di universiti swasta di Lembah Klang terbabit dalam kegiatan ini manakala seorang lagi lelaki mendakwa dirinya ahli perniagaan. Kami akan siasat latar belakang mereka," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut menyita dua kereta dipercayai milik sindiket berjumlah RM65,000.

Menurutnya, enam suspek direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 3:34 PM