HAHA mencipta fenomena menerusi rancangan Running Man.
HAHA mencipta fenomena menerusi rancangan Running Man.
Oleh Georgie Joseph


Sedar atau tidak, program ‘variety’ popular dari Korea Selatan, Running Man sudah lima tahun bersiaran. Fenomenanya juga masih belum surut biarpun berlambak program lain muncul ketika ini.

Semuanya gara-gara hos rancangan itu seperti Haha, Yoo Jae-suk, Gary, Ji Suk-jin, Kim Jong-kook, Lee Kwang-soo dan Song Ji-hyo tidak pernah gagal membuatkan penonton tidak kering gusi dengan aksi gila-gila mereka.

Setiap episod ada saja lawak dilakukan mereka dan ia kadang-kadang di luar jangkaan.

Tidak hairanlah, setiap daripada mereka memiliki peminat fanatik sendiri berikutan personaliti menarik ditunjukkan dalam Running Man.

Di Malaysia sendiri, kehadiran mereka sentiasa dinanti-nantikan.

Pernah berkunjung ke sini tahun lalu bersama rakan hos lain iaitu Kwang Soo, Ji-Hyo dan Jong-Kook, Haha bakal kembali ke Malaysia pada 11 November ini.

Hadir untuk menjayakan acara Love 11 anjuran laman beli-belah ‘online’ popular 11 Street, kehadiran Haha pasti mengujakan peminat di sini.

Mana tidaknya, Haha adalah hos Running Man yang cukup terkenal dengan sikap gila-gilanya.

Apa yang pasti, dia bukan sekadar hadir menjayakan acara itu, tetapi akan turut meluangkan masa bertemu dengan peminat bertuah di sini selain membuat persembahan di pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif 11 Street Hoseok Kim berkata, program yang bermula pada jam 12 tengah hari itu simbolik kepada hari istimewa di Korea Selatan di mana masyarakat menyalurkan kasih sayang dengan menyumbangkan hadiah.

“Tarikh 11 November bukan saja dipilih kerana ia sama dengan nama jenama kami, tetapi di Korea Selatan sendiri tarikh itu sangat istimewa. Ia adalah hari untuk 11 Street memberikan ganjaran kepada pelanggan dengan kadar faedah yang sangat menarik.

“11 November juga terkenal sebagai hari apabila masyarakat di sana menunjukkan kasih sayang sama ada memberi hadiah atau membuat gerakan bertukar coklat Pepero dengan orang tersayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:16 AM