ALEX (dari kiri), Jimmy, Mei, dan Erul ketika menjalani penggambaran di Pasar Borong Selangor.
ALEX (dari kiri), Jimmy, Mei, dan Erul ketika menjalani penggambaran di Pasar Borong Selangor.
Oleh Georgie Joseph


Jika anda pengikut industri muzik Korea Selatan atau sinonim dengan panggilan K-Pop, tetapi tidak meminati kumpulan Big Bang pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Ini kerana Big Bang artis paling berpengaruh Korea Selatan dan semua peminat K-Pop pastinya mengimpikan untuk bertemu dengan kumpulan dianggotai T.O.P, Taeyang, G-Dragon, Daesung dan Seungri itu.

Apa yang pasti, peminat mereka di Malaysia semakin tidak sabar apabila Big Bang mengumumkan akan mengadakan konsert Big Bang 2015 World Tour (M.A.D.E) In Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Big Bang pernah mengadakan konsert mereka di negara ini pada 2012 dan pastinya ‘comeback’ tahun ini paling dinantikan.

Untuk itu, Hotlink tampil dengan projek dinamakan KPop Academy yang diwujudkan sempena kehadiran kumpulan berkenaan.

Menerusi KPop Academy, Hotlink membuka penyertaan kepada peminat tegar K-Pop di Malaysia untuk mengambil bahagian.

Peserta bertuah yang terpilih bakal ditampilkan sebagai wajah Hotlink di samping mendapat pengalaman berharga sekali dalam seumur hidup.

Selepas penilaian, lima peserta berjaya menyertai KPop Academy iaitu Joe Chang Yew, 25, Khairul Najmudin atau Erul, 23, Jimmy Tan, 20, Mei Ng, 19, dan Alex Ho, 20.

Dengan menyertai Kpop Academy, mereka berpeluang merasai sendiri sesi latihan menjadi artis K-Pop merangkumi kelas nyanyian, tarian dan dandanan.

Selain itu, mereka turut menjayakan penggambaran klip video lagu Fantastic Baby nyanyian Big Bang sebagai tugasan terakhir. Episod perjalanan lima peserta itu turut ditayangkan di saluran YouTube HotlinkTV.

Dalam penggambaran di Kompleks Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, lima peserta terbabit jelas cukup teruja. Apatah lagi bersama produksi yang akan memastikan klip video berkenaan gah dan bukannya ‘cincai’.

Alex ketika ditemui berkata, pengalaman itu memberinya perspektif baru yang tidak pernah dirasai sebelum ini dan menyifatkan dirinya sangat bertuah.

“Selama ini, saya cuma jadikan tarian sebagai hobi. Namun, terpilih menyertai KPop Academy memberikan saya peluang menjadi seorang ‘superstar’. Sebagai peminat K-Pop, impian saya tercapai,” katanya.

Pemilihan artis tempatan yang pernah muncul naib juara dalam program realiti K-Pop Starhunt 2 di Korea Selatan iaitu Erul semestinya paling menarik perhatian.

Berbanding empat lagi peserta, Erul paling berpengalaman dalam muzik K-Pop.

“Saya turut mencuba nasib kerana belum puas dengan apa yang saya pernah capai sebelum ini. Ternyata, proses yang kami alami berbeza dengan pengalaman saya sebelum ini.

“Bukan tamak, tapi saya rasa inilah peluang untuk mengembangkan lagi nama dalam industri tempatan pula. Meskipun ramai peminat saya tahu kegilaan saya terhadap K-Pop, namun saya sifatkan peluang ini lebih kepada kepuasan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pra-Bayar Perniagaan Pelanggan Hotlink Navin Manian berkata, gelombang K-Pop berkembang pesat dan Hotlink tidak ragu-ragu melaksanakan projek berkenaan.

“Kami aktif menyokong kehadiran ramai artis K-Pop ke Malaysia sebelum ini seperti Taeyang dan Royal Pirates.

“Hotlink sentiasa mendahulukan pelanggan terutama sekali peminat muzik tidak kiralah apa juga genre kegemaran mereka. Begitu juga dari segi pengalaman, kepelbagaian itu sangat penting supaya pelanggan dapat merasainya sendiri,” katanya.

Navin berkata, lima peserta terbabit juga akan dipilih sebagai duta Hotlink dan akan diberi keutamaan untuk menghadiri pelbagai acara berkaitan K-Pop.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:05 AM