Istanbul: Seorang wartawan kanan akhbar utama Turki dipecat semalam akibat kenyataan di Twitter yang mengkritik polisi Presiden Recep Tayyip Erdogan terhadap Negara Islam (IS).

Akhbar Milliyet berkata, Kadri Gursel dipecat serta-merta kerana pendiriannya bertentangan dengan polisi syarikat.

“Kenyataan penulis kami bertentangan dengan pemahaman dan tanggungjawab mengikut etika kewartawanan kumpulan media kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Wartawan itu melalui akaun Twitter @KadriGursel menuduh Erdogan punca utama kebangkitan IS dan menganggap sungguh memalukan apabila pemimpin dunia mengucapkan takziah kepada presiden itu atas pengeboman di Suruc, baru-baru ini.

“Memalukan apabila orang yang menjadi punca utama keganasan IS di Turki pula menerima ucapan takziah,” katanya dalam tweet bahasa Turki yang dikongsi 3,000 kali.

Seramai 33 orang terbunuh dalam serangan pengebom berani mati Isnin lalu di Suruc yang bersempadan dengan Syria yang disyaki dilakukan IS.

Turki kerap didakwa bersekongkol dengan pelampau IS kononnya untuk menggulingkan Presiden Syria Bashar al-Assad. Ankara berulang kali menafikan dakwaan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:24 AM