BANDAR Jerantut memiliki banyak tempat menarik antaranya Kota Gelanggi.
BANDAR Jerantut memiliki banyak tempat menarik antaranya Kota Gelanggi.
JAMBATAN Kanopi di Taman Negara.
JAMBATAN Kanopi di Taman Negara.
AIR terjun Lata Meraung sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
AIR terjun Lata Meraung sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

Gua Kota Gelanggi Terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Jerantut, gua legenda mempunyai sejarah tersendiri. Gua di sini dikenali dengan nama Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Jin dan Kota Balai.

Gua Kota Gelanggi sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai, malah terdapat pelbagai bentuk batu yang menyerupai manusia bersanding, ular dan singa. Kejadian itu dikaitkan dengan sumpahan Sang Kelembai iaitu makhluk yang mempunyai kuasa sakti yang menyumpah sesuatu menjadi batu.

Mengikut kajian Muzium Negara pada tahun 1981, terdapat bukti bahawa barang yang dijumpai adalah tinggalan manusia zaman purba.

Terdapat pengkaji sejarah mengatakan gua ini dulunya sebuah negeri yang besar dan dipercayai tempat persembunyian Maharaja Dewa Sura ketika diburu angkatan Melaka pada abad ke-15.

Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan Tok Gajah juga dikatakan pernah berlindung dan bertapa di gua ini. Asal usul nama Gelanggi berasal daripada perkataan Siam iaitu Klang Kio atau Gelang Gio.

Kisah legenda menceritakan kawasan ini diperintah Raja Gelanggi yang mempunyai seorang puteri yang cantik. Anak Raja Mambang dari Lipis melamar puteri itu , namun anak Raja Usul dari Bera bertemu puteri berkenaan ketika berburu, lalu jatuh cinta dan setuju untuk berkahwin.

Perkara itu diketahui anak Raja Mambang lalu menyerang anak Raja Usul. Anak Raja Mambang mati dibunuh oleh anak Raja Usul lalu anak Raja Usul berkahwin dengan Puteri Gelangi.

Lembah Kiol

Lembah Kiol yang dikelilingi Hutan Hujan Tropika, amat sesuai untuk menenangkan jiwa dan emosi. Jika anda ingin merasai kesejukan air terjun, serta suasana pemandangan yang dikelilingi hutan menghijau, air terjun Lata Meraung di Lembah Kiol adalah jawapannya.

Di sini terdapat kawasan perkelahan, alam semulajadi yang didampingi oleh bukit-bukau, gunung-ganang, jeram semula jadi, flora dan fauna, senitanam landskap, tempat memancing, paver footpater, tangga dan juga tempat permainan sukan bagi kemudahan kepada para pelancong seperti lumba basikal dan maraton.

Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perhutanan mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan pengunjung ke sini berada dalam keadaan selesa seiring dengan keindahan alam semulajadinya.

Taman Negara

Taman Negara yang juga hutan hujan tropika yang terbesar dan tertua di dunia salah satu tumpuan utama pelancong di dalam dan luar negara. Di sini turut kaya dengan pelbagai bentuk gua batu kapur, antaranya Gua Telinga dan Gua Kepayang Besar.

Pelancong juga boleh melihat pelbagi jenis dan spesies binatang dan tumbuhan melalui Bumbum Tebing dan Bumbum Blau. Taman Negara menyediakan beberapa kemudahan kepada pelancong, antaranya chalet, tapak perkhemahan, bangku rehat, tandas awam, restoran dan kedai cenderamata.

Taman Negara Kuala Tahan dengan keluasan 4,343 km persegi menyimpan khazanah negara yang kaya dengan fauna dan flora. Semua hidupan liar dan tumbuhan tidak boleh diganggu bagi memastikan keindahan alam semula jadi yang asli dapat dikekalkan.

Pengunjung juga boleh melihat keindahan alam semula jadi melalui ‘Canopy Walkway’ iaitu sebuah jambatan yang dibina daripada tali, jaring, kayu dan kabel setinggi 25 meter dari paras tanah dan panjang lebih kurang 400 meter.

Pengunjung ke Taman Negara biasanya tinggal dua hingga empat hari bergantung kepada aktiviti yang dipilih.

Tekam Plantation Resort

Perjalanan mengelilingi kawasan memproses minyak sawit, ladang getah dan menjelajah ke Gunung Senyum adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan. Untuk merasainya kunjungilah Tekam Plantation Resort. Selepas penat mengelilingi tempat yang menarik di Tekam Plantation Resort, anda boleh menginap di sini.

Tekam Plantation Resort turut menyediakan pelancongan berasaskan argotourism, aktiviti berpasukan seperti basikal bukit dan memancing.

Pelancong tidak perlu bimbang apabila berkunjung ke sini kerana segala kemudahan disediakan seperti chalet, tandas, bangku rehat, kolam renang, padang golf 18 lubang, dusun buah-buahan dan bilik mesyuarat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 11:06 AM