Phnom Penh (Kemboja): Hakim di tribunal bagi menyiasat jenayah perang di Kemboja mengkritik Thailand dan Vietnam kerana enggan memberi bukti dalam perbicaraan beberapa bekas pemimpin Khmer Rouge yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika pemerintahan rejim itu pada 1970an.

Hakim mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mark Harmon berkata, beliau mengirim sejumlah surat kepada kerajaan Thailand dan Vietnam sejak 2013 bagi mendapatkan bukti mengenai kekejaman rejim itu.

“Bagaimanapun, kedua-dua negara berkenaan tidak memberi maklum balas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tribunal itu yang ditubuhkan hampir sedekad lalu menjatuhkan hukuman terhadap tiga bekas pemimpin Khmer Rouge.

Perbicaraan tribunal itu dihimpit pelbagai masalah dari kekurangan dana hinggalah tuduhan campur tangan politik yang mengehadkan skop siasatan.

“Kedua-dua kerajaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan yang boleh membantu siasatan,” tambahnya.

Ketika ini belum jelas bukti atau dokumen apa yang dikehendaki oleh anggota penyiasat dari kedua-dua negara berkenaan.

Rejim Khmer Rouge yang diketuai Pol Pot tumbang pada 1979 apabila Vietnam menceroboh negara itu.

Pemerintahan kejam Pol Pot menyebabkan kira-kira tiga juta penduduk Kemboja mati dan puluhan ribu lagi melarikan diri ke Thailand. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:47 AM