Kuala Lumpur: Grand Prix Korea Selatan 2014 menjadi medan ujian terbaik buat beregu wanita negara yang melalui proses eksperimen selepas beberapa gandingan utama bertukar termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo.

Vivian bakal bergandingan dengan Ng Hui Lin buat kali kedua, tetapi ini aksi antarabangsa pertama mereka, dalam usaha mengekalkan momentum selepas muncul juara di Sirkit Kebangsaan Terbuka Perak bulan lalu apabila menumpaskan rakan senegara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho 21-14, 21-15.

“Semuanya berjalan lancar selepas kali pertama kami digandingkan di Terbuka Perak,” kata Vivian yang sebelum ini bergandingan dengan Woon Khe Wei.

Hari ini Vivian-Hui Lin memulakan aksi di Dewan Badminton Tertutup Jeonju dengan menentang pilihan ketujuh iaitu wakil tuan rumah, Choi Hye In-Kim Ha Na di pusingan pertama.

“Sejak bergandingan dengan Hui Lin, saya hanya harap kami dapat beraksi cemerlang di mana-mana kejohanan disertai dan melihat di mana tahap kami.

“Pusingan pertama bertemu dengan pasangan yang sukar dikalahkan, tetapi saya harap kami dapat melepasinya,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Jika menang Vivian-Hui Lin bakal bertemu pemenang antara Choi Yoon Jung-Han Yoon Joo (Korea Selatan) dan Chang Yu Chen-Hu Ling Fang (Taiwan).

“Kami akan menyelesaikan tugas satu demi satu dan tidak meletakkan sasaran khusus untuk kejohanan ini.

“Walaupun bertukar pasangan, peranan saya tetap sama iaitu banyak bermain di bahagian belakang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:05 AM