Aidilfitri menjelang tidak berapa lama lagi. Semua umat Islam di Malaysia pasti sibuk dengan persediaan untuk berhari raya.

Antara persediaan utama untuk hari raya adalah kuih atau biskut raya. Kebanyakan daripada kita hari ini lebih suka membeli sahaja kuih raya kerana faktor kesuntukan masa dan memudahkan.

Tahukah kita kebanyakan biskut raya menggunakan marjerin sebagai satu daripada ramuannya. Marjerin menjadi sesuatu yang sinonim dengan kuih raya sehingga kita mudah mengingati jenama marjerin tertentu yang dikaitkan dengan kuih raya.

Marjerin sebenarnya adalah lemak tepu sintetik yang dihasilkan menerusi proses ‘hidrogenasi’ minyak masak. Dalam proses ini, atom hidrogen ditambahkan pada minyak masak cecair dan ia akan bertukar menjadi lebih keras.

Proses ini menyebabkan minyak menjadi beku dan lebih mudah disimpan serta tahan lebih lama. Proses hidrogenasi menyebabkan molekul minyak itu berubah menjadi bahan yang dipanggil ‘Asid Lemak Trans’ (Trans Fatty Acids).

Menurut kajian di Amerika Syarikat, 40 peratus sumber asid lemak trans dalam pemakanan adalah daripada makanan proses seperti biskut, kek, kerepek, pai dan roti manakala 17 peratus adalah daripada penggunaan marjerin.

Kajian terkini menunjukkan bahan yang mengandungi asid lemak trans mempunyai risiko tinggi pada kesihatan kerana mempunyai kaitan yang sangat kuat pada masalah keradangan atau inflamasi saluran darah, kolesterol tinggi, sakit jantung koronari, strok, diabetes, kanser dan darah tinggi.

Antara kajian yang popular dipanggil Nurse‘s Health Study menunjukkan wanita yang mengambil lebih banyak asid lemak trans dalam pemakanan seharian mereka mempunyai risiko 50 peratus lebih tinggi mendapat serangan jantung.

Pengkaji di Universiti Harvard membuat rumusan bahawa seseorang yang meninggalkan pengambilan asid lemak trans akan menurunkan risiko mendapat diabetes sehingga 40 peratus lebih rendah berbanding seseorang yang terus mengambil asid lemak trans dalam pemakanan mereka.

Kajian sains membuktikan bahawa pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans menyebab­kan masalah ‘aterosklerosis’ iaitu saluran darah di jantung tersumbat kerana berlaku pengumpulan kolesterol di dinding saluran darah koronari lantaran saluran darah berkenaan me­ngalami masalah keradangan atau inflamasi.

Kajian juga menunjukkan pengambilan lemak trans menyebabkan paras kolesterol LDL dan trigliserida meningkat serta merendahkan paras kolesterol HDL. Oleh itu ia juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, strok dan diabetes.

Kajian juga menunjukkan asid lemak trans jauh lebih berbahaya kepada kesihatan daripada lemak tepu dari sumber haiwan dan sumber tumbuhan seperti minyak kelapa.

Pada zaman sekarang, penggunaan asid lemak trans berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak memakannya setiap hari.

Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mi segera, biskut, piza, kuih-muih, kek, pastri, kerepek, donut, kentang goreng dan jajan. Kebanyakan makanan ini menggunakan marjerin atau ‘shortening’.

Makanan segera seperti ‘burger’ yang dijual di tepi jalan atau di restoran makanan segera juga me­ngandungi asid lemak trans yang tinggi kerana digoreng menggunakan marjerin.

Minyak yang kaya dengan asid lemak tak tepu (PUFA) seperti minyak sayuran (soya, bunga matahari, jagung) yang dipanaskan dengan suhu tinggi juga akan berubah menjadi asid lemak trans apabila digunakan dalam gorengan ‘dalam’ (deep frying) .

Di samping itu, makanan segera banyak menggunakan bahan perasa dan bahan pengawet. Kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah sakit jantung dan penyakit kronik lain.

Alternatif lebih sihat adalah penggunaan minyak yang lebih sihat seperti minyak zaitun, santan, minyak kelapa dan minyak kelapa sawit.

Oleh itu, boleh dikatakan makanan atau kuih raya yang menggunakan santan dalam ramuan seperti dodol, wajik, lemang dan rendang adalah lebih sihat kerana mengandungi minyak kelapa atau santan.

Sekarang ada juga produk marjerin yang bebas asid lemak trans di pasaran. Jika anda masih mahu menggunakannya, pilih produk seperti ini yang lebih selamat.

Baca pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan teliti labelnya. Perhatikan perkataan seperti ‘minyak sayuran terhidrogenasi’ atau ‘hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’.

Ini adalah asid lemak ‘trans’ yang terkandung dalam makanan itu. Sesetengah pengeluar makanan mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’ dan melabelnya sebagai makanan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:00 AM