GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Masalah kolestrol tinggi tidak semestinya dihidapi oleh orang yang berpenyakit dan berbadan besar, namun ia turut menyerang sesiapa sahaja yang tidak menjaga pemakanan dan kesihatan.

Pegawai Dietetik, Program Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Nor Elyana Awang@Nawi berkata, ramai yang menyangkakan kolestrol dihasilkan oleh makanan, namun hakikatnya 80 peratus daripada kolestrol adalah sejenis lemak yang dihasilkan oleh tubuh kita sendiri iaitu melalui hati.

Menurutnya, pengambilan makanan tinggi kolesterol tidak memberi kesan yang signifikan dalam kenaikan paras kolesterol darah berbanding pengambilan lemak tepu.

"Secara umumnya, kolesterol didapati daripada sumber haiwan seperti telur, organ dalaman dan juga makanan laut seperti kerang, manakala makanan dari sumber tumbuhan pula tidak mengandungi kolesterol tetapi mengandungi lemak tepu yang tinggi contohnya seperti minyak sawit dan santan.

"Disebabkan itu, beberapa kajian yang dijalankan merumuskan pengambilan sebiji telur sebiji tidak menaikkan paras kolesterol darah walaupun kandungan kolesterol di dalam telur kuning adalah antara yang tertinggi.

"Kolestrol lebih aktif dihasilkan oleh badan pada waktu malam dan oleh sebab itulah kebiasaannya pesakit diarahkan untuk mengambil ubat kolestrol pada waktu malam sebelum tidur," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati dalam memilih makanan terutamanya makanan 'viral' yang mengandungi lemak yang tinggi terutamanya minyak dan marjerin yang biasanya digunakan dalam membuat kek, pastri dan sebagainya.

"Marjerin mengandungi lemak trans yang lebih merbahaya daripada lemak tepu dan ia boleh meningkat risiko kepada penyakit jantung.

"Bagi makanan tinggi serat larut seperti oat, barli dan beras perang boleh membantu mengurangkan kolestrol low-density lipoprotein' (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat dengan cara mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah.

"Serat larut akan mengikat kolesterol makanan di dalam usus dan menyingkirkannya," katanya.

Nor Elyana menasihatkan agar orang ramai menjaga pemakanan dengan memilih makanan seimbang dan berkhasiat yang rendah lemak, kurang minyak, garam dan juga lemak trans.

"Selain itu, kawal kalori, elak pengambilan makanan berlebihan dan elak makanan terproses.

"Pada masa sama, ambil sayur sekurang-kurangnya tiga hidangan sehari dan digalakkan untuk membawa bekal bagi memastikan kita tidak memilih makanan yang tidak sihat di kedai.

"Banyakkan juga bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dan pengurangan berat badan sekecil lima peratus daripada berat asal sudah memberi impak penurunan yang besar kepada paras kolestrol sekali gus mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan jantung," katanya.

Beliau berkata, kehidupan moden dan gaya hidup di negara ini membawa kepada peningkatan kadar kolestrol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, kolestrol tinggi memberi implikasi serius terhadap kesihatan jantung dan pembuluh darah.

"Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia pada 2020 apabila 17 peratus daripada 18,515 kematian yang direkodkan adalah berpunca daripada penyakit jantung.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati seramai empat daripada 10 orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah kolesterol yang tinggi dan satu daripada empat individu berkenaan tidak mengetahui bahawa dia mempunyai masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 1:57 PM