Oleh Azlan Muhammad Zain


Gwangju (Korea Selatan): Skuad badminton negara melangkah ke separuh akhir acara berpasukan campuran Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 selepas menewaskan Indonesia 3-2 di Pusat Sukan Hwasun Hanium, petang tadi.

Gandingan Sannatasah Saniru dan Ti Wei Chyi memastikan kemaraan skuad negara selepas berhempas pulas mengalahkan beregu Indonesia dalam aksi tiga set 20-22, 21-13, 21-17.

Terdahulu, skuad negara berpeluang melakar kemenangan lebih awal selepas mendahului 2-1 namun Lyddia Cheah gagal melakar kemenangan ketika menentang Yuswandari Aprilia apabila tunduk dalam aksi tiga set.

Turut melakar kemenangan adalah Zulfadli Zulkiffli serta gandingan Arif Ab Latif dan Vountus Indra Mawan Saniru.

Malaysia akan menentang Korea Selatan di pentas separuh akhir esok dengan satu lagi aksi separuh akhir membabitkan China menentang Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:18 PM