ARIF (kanan), Juan Shen pamer aksi mantap.
ARIF (kanan), Juan Shen pamer aksi mantap.

Kontinjen Malaysia memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila beregu lelaki Mohd Arif Latif-Low Juan Shen melangkah ke separuh akhir Sukan Universiti Dunia, semalam.

Pasangan negara itu mempamerkan persembahan membanggakan apabila bangkit memenangi set kedua 21-18 selepas tewas set pertama 14-21 kepada pasangan Jerman, Mark Peter Lamsfuss-Fabian Holzer di Pusat Sukan Hwasun Hanium.

Mereka bertarung sengit pada set ketiga apabila saling mendahului dan akhirnya menang menewaskan beregu pilihan ketiga-keempat temasya itu 21-17 untuk memastikan tempat ke separuh akhir hari ini.

“Saya gembira kerana sasaran tercapai walaupun saya tidak berada pada tahap terbaik. Saya tidak sihat sepenuhnya, sakit tekak.

“Rakan saya (Juan Shen) banyak membantu kerana pergerakan saya terlalu perlahan pada set pertama. Selepas itu kami tidak melakukan banyak kesilapan dan akhirnya menang,” kata Arif.

Arif berkata, mereka akan melakukan yang terbaik bagi aksi separuh akhir hari ini dengan misi menukar warna pingat walaupun sedar ia bukan sesuatu yang mudah apabila menentang pasangan China yang juga pilihan kedua temasya Zhang Wen-Wang Yilyu menanti selepas menewaskan Lee Yong Dae-Ko Sung Hyun dalam aksi tiga set.

Terdahulu sandaran utama negara Zulfadli Zulkiffli gagal menyerlah apabila terkandas pada pusingan ketiga kepada pemain India, Jaiswal Shreyansh 16-21, 21-16, 12-21.

Perkembangan itu mencetus persoalan mengenai prestasi sebenar bekas juara remaja dunia itu yang akan menggalas cabaran negara ke Kejohanan Dunia di Jakarta bulan depan bersama Datuk Lee Chong Wei.

“Pada awalnya saya jangka mampu melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir. Namun semalam (kelmarin) dia mengadu sakit di belakang pinggang.

“Malah pada perlawanan menentang pemain India itu, saya lihat lawan meraih lebih 10 mata menerusi bulu tangkis yang terkena jaring,” kata jurulatih negara Zulkiffli Sidek.

Zulkiffli bagaimanapun menepis kebimbangan mengenai prestasi Zulfadli apabila beraksi di Kejohanan Dunia nanti apabila menjelaskan Universiade mempunyai kelas tersendiri.

“Saya yakin Kejohanan Dunia berbeza. Dia hanya akan beraksi dalam acara perseorangan saja, tidak seperti di sini apabila turut turun dalam acara beregu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM