SHUHADA MANSOR mahu Gen Y jadi penyelamat untuk hadkan perbelanjaan rakan yang suka membeli-belah berlebihan. Ada beberapa cara boleh dicuba. Artikel ini mungkin dapat membantu anda untuk menyelamatkan rakan atau saudara daripada ‘papa kedana’ selepas raya.

Bukan mudah untuk kita katakan ‘jangan’ kepada orang lain. Tidak kisahlah dalam hal membeli-belah atau apa saja kerana apa yang mereka belanjakan bukan menggunakan duit kita. Justeru, untuk elakkan diri daripada diperli, kita akan berdiam diri dan biarkan mereka berbelanja hingga poket kering.

Ada beberapa etika yang boleh anda cuba ketika berhadapan individu seperti ini. Penulis tahu, ia bukan mudah untuk dilakukan, tapi demi menyelamatkan diri sendiri daripada mendengar keluhan mereka akibat ‘terlebih bajet’ kelak, lebih baik anda cuba cara ini.

Gen Y faham, kita akan turuti sesiapa saja yang me­ngajak kita menemani mereka keluar membeli-belah. Rasa serba salah untuk tolak ajakan selain tidak mahu dilabel sombong antara sebab utama. Tapi, jika kita tahu sikap mereka yang gila berbelanja hingga lupa mengenai kewangan sebelum hujung bulan, pastinya membuatkan anda perlu lakukan beberapa teknik ini.

BERANI KATA TIDAK

Untuk jadi sahabat, teman atau saudara yang baik tidak semestinya kita perlu meng­angguk tanda setuju dengan apa saja. Jika mereka mengajak untuk keluar, beritahu mereka hal seperti anda kurang ‘bajet’ untuk melepak kerana wang yang ada perlu digunakan untuk hal lebih penting. Mungkin ia sukar jika diajak rakan karib, apa yang boleh anda lakukan, katakan ‘tidak’ untuk perkara yang tidak penting mahu mereka beli. Jika keluar berteman, kita pasti akan menjadi sumber rujukan bagi mereka. Oleh itu, apa saja barangan yang tidak perlu mereka beli, anda perlu berani untuk katakan ‘tidak sesuai’, ‘mahal’, ‘kurang cantik’ atau apa saja yang boleh membantutkan hasrat mereka.

PAKSA DIRI UNTUK JUJUR

Menolak ajakan rakan untuk keluar bukan mudah kerana penulis faham, jauh di sudut anda juga mahu keluar bersosial. Untuk menyelamatkan duit poket anda dan duit poket rakan, perlu paksa diri untuk bercakap jujur. Penghalang utama adalah duit. Oleh itu, beritahu mereka anda perlu simpan duit untuk perkara lain. Jelaskan situasi anda sudah terlebih berbelanja dan terpaksa ‘berkurung’ dalam rumah untuk elakkan ‘terlebih bajet’ sebelum dapat gaji. Mungkin dengan bercakap jujur, mereka turut sama sedar dan mula fikirkan mengenai bajet mereka sendiri.

TUKARKAN DENGAN AKTIVITI LAIN

Tidak semestinya bersiar-siar di pusat beli-belah saja dapat menghilangkan tekanan. Ada pelbagai aktiviti lain yang lebih menarik bahkan mampu menjimatkan duit poket. Contohnya, jika rakan anda sukakan alam semula jadi, apa salahnya untuk tukar aktiviti dengan berkunjung ke zoo, taman perhilitan ataupun berpiknik di pusat rekreasi yang jauh dari kesibukan kota.

Sekiranya rakan anda seorang yang sukakan tempat tumpuan, tukar aktiviti dengan melepak di kafe menarik sekitar ibu kota. Selain daripada dapat menikmati suasana berbeza, anda masih boleh berborak santai dengan dikelilingi panorama menarik di tengah kota.

ADAKAN SYARAT

Jika idea untuk tukarkan aktiviti membeli-belah de­ngan perkara lain tidak menjadi, anda boleh letakkan syarat sebelum keluar dengannya. Contohnya, elak makan di restoran mewah ataupun hadkan hanya beberapa barangan boleh dibelinya. Sentiasa ingatkan bahawa Lebaran disambut meriah hanya beberapa hari dan tidak perlu berbelanja seperti meraikannya sepanjang tahun.

JANGAN JADI ‘ALONG’

Kita mungkin akan rasa kasihan kepada rakan sekiranya barang yang mereka mahukan itu mahal dan tidak sepadan bajet mereka. Jika barang itu satu-satunya barang yang ingin dibeli, mungkin anda boleh ‘pejam mata’ dan pinjamkan mereka wang. Tetapi, jika mereka sudah berbelanja banyak dan masih mahu membeli barangan lain, anda perlu tegas dan jangan sesekali lembut hati untuk menjadi peminjam wang tanpa lesen. Sekiranya anda selalu bertolak ansur, mereka akan sentiasa bergantung kepada anda dalam situasi ini. Oleh itu, tegas dan katakan tidak jika mereka memujuk untuk meminjam wang.

KAWAL DIRI SENDIRI

Walau apa sekalipun cara yang Gen Y kongsikan, pokok pangkalnya adalah diri anda sendiri. Yang paling penting, anda perlu tahu mengawal diri, kemahuan dan kewangan sendiri. Jangan pula sibuk fikirkan orang lain, tetapi anda yang kecundang dengan keinginan yang tidak perlu. Penulis faham, melihat orang lain berbelanja turut membuatkan kita terikut-ikut untuk membeli tetapi pada waktu itu anda perlu memaksimumkan kawalan nafsu membeli-belah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:01 PM