BERJIMAT cermat dan berbelanja secara berhemah menjelang musim perayaan.
BERJIMAT cermat dan berbelanja secara berhemah menjelang musim perayaan.
Oleh Hamizah Badiran

Selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, Aidilfitri pula menjelma.

Ramadan dan Syawal tidak dinafikan menjadi antara bulan yang menuntut banyak perbelanjaan serta kesabaran selain kebijaksanaan dalam berbelanja.

Ini berikutan, selain terjebak dengan perbelanjaan berlebihan ketika membeli juadah sahur dan berbuka, ada antara kita yang terjebak hutang baru sebab menggantikan langsir serta perabot lama, membeli kereta baru untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

Kesannya, kita dibebani hutang, manakala poket pula kosong kerana duit gaji sudah habis.

Justeru, penting untuk merancang perbelanjaan dengan bijak ketika mengharungi dua bulan mulia ini dan kaedah terbaik ialah merancang perbelanjaan supaya tidak berbelanja melebihi pendapatan.

Sebagai pengguna, kaedah terbaik untuk mengawal perbelanjaan ialah dengan membuat bajet dan memastikan anda berbelanja mengikut bajet disediakan.

Perbelanjaan berlebihan ketika Ramadan secara tidak langsung menyesakkan poket, seterusnya menyebabkan kita berdepan kesukaran mengurus perbelanjaan pada Hari Raya nanti.

Oleh itu, apabila anda berbelanja dengan lebih bijak ketika Ramadan, secara tidak langsung ia membantu diri sendiri membuat persediaan kewangan lebih baik untuk memasuki Syawal.

Sudah pasti anda juga perlu membuat peruntukan untuk sambutan Aidilfitri yang biasanya perlu dimulakan ketika masih meniti Ramadan.

Tempahan kuih raya, pakaian hari raya, duit raya, perbelanjaan pulang ke kampung dan juga untuk sambutan hari raya juga perlu difikir dan direkodkan supaya kelak mempunyai wang untuk membiayai semuanya.

Pastikan gaji yang diterima disusun daripada awal supaya kita dapat membiayai perbelanjaan diperlukan. Jika boleh, elakkan mengambil pinjaman peribadi untuk membiayai keperluan.

Amalan bersederhana akan membantu kita mengurus kewangan dengan bijak, seterusnya mengelak daripada terperangkap dalam hutang yang membebankan dan berpanjangan.

Antara tip mengurus kewangan menjelang Ramadan dan Syawal adalah dengan memasak sendiri juadah berbuka dan sahur jika berkesempatan, beli makanan sejuk beku, membuat bajet sebelum ke bazar Ramadan, berbelanja bahan basah di pasar, usah terpengaruh dengan jualan murah atau tawaran berhutang dan buat bajet untuk tempahan baju serta kuih raya.

Memasak sendiri akan membantu anda berjimat terutama jika kita sudah berkeluarga. Untuk menjimatkan masa di dapur pula, bahan asas masakan seperti cili, bawang kisar, ikan dan ayam disiang yang boleh disimpan dan digunakan untuk tempoh seminggu disediakan lebih awal.

Selain itu, jika menyimpan makanan sejuk beku, keluarkannya ke bahagian sejuk dan segar sebelum kita keluar bekerja. Apabila pulang, ia sudah boleh terus dimasak.

Sebelum ke bazar Ramadan, tetapkan jumlah perbelanjaan (mungkin anda hanya perlu membawa RM10 saja) dan jenis juadah yang ingin dibeli. Ini dapat membantu anda daripada berbelanja berlebihan dan membazir.

Apa kata pada Sabtu atau Ahad, anda pergi ke pasar untuk mencari bahan masakan diperlukan bagi stok selama seminggu.

Lebih penting, usah terperangkap dengan pelbagai jualan murah atau tawaran pinjaman wang kerana barangan berkenaan mungkin tidak penting lagi selepas perayaan, tetapi anda masih perlu membayar hutang yang berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:56 AM