ORANG ramai mengambil peluang membeli  barangan persiapan raya  di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
ORANG ramai mengambil peluang membeli barangan persiapan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Masuk minggu ketiga Ramadan, bahang kemeriahan Aidilfitri kian terasa .

Di sana sini, peniaga gerai, kedai dan gedung membeli-belah mahupun yang berniaga dalam talian giat melakukan promosi untuk melariskan jualan.

Cuma ramai mengeluh kerana terlebih berbelanja pada Ramadan. Walaupun banyak kedengaran rungutan tentang kenaikan harga barang pada musim perayaan sikap berbelanja masyarakat tetap tidak berubah.

Inilah realiti saban tahun. Kegagalan mengawal nafsu berbelanja hingga berlebih-lebihan terutama pada musim perayaan seolah-olah menunjukkan pengguna tidak terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Di mana-mana saja, bazar Ramadan masih menjadi tumpuan.

Begitu juga pasar raya dan pusat membeli-belah, tidak putus-putus didatangi pembeli. Itu belum lagi mereka yang membeli-belah dalam talian.

Tabiat berbelanja berlebih-lebihan itu menyebabkan kenaikan perbelanjaan antara satu hingga tiga kali ganda berbanding bulan biasa.

Perkiraannya mudah, jika pada bulan biasa perbelanjaan sekitar RM600, tetapi pada musim perayaan ia boleh meningkat kepada RM1,800.

Menurut pakar kewangan pengguna, Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, kenaikan itu boleh meningkat sehingga empat kali ganda memandangkan ringgit semakin lemah serta kos sara hidup yang tinggi.

Pengguna bagaikan tidak ambil pusing dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup ketika berbelanja pada musim perayaan.

Beliau yang mengkaji ‘Corak Perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri Rakyat Malaysia’ pada tahun lalu mendapati lebih 55 peratus pengguna berbelanja lebih satu kali ganda berbanding perbelanjaan bulan biasa manakala 22 peratus melebihi dua kali ganda dan lima peratus melebihi tiga kali ganda daripada perbelanjaan bulan biasa.

Kajian membabitkan 700 responden yang dilakukan secara dalam talian itu mendapati majoriti pengguna iaitu 79 peratus menyediakan belanjawan khusus untuk Aidilfitri. Bagaimanapun dapatan menunjukkan 82 peratus daripada mereka yang menyediakan bajet raya itu berbelanja lebih berbanding perbelanjaan mereka pada bulan biasa.

“Ini menunjukkan majoriti pengguna tidak berdisiplin dalam mengikut bajet yang disediakan sehingga membawa kepada peningkatan perbelanjaan.

“Ia menjadi masalah apabila pengguna menggunakan pendapatan gaji mereka untuk memenuhi keperluan perbelanjaan pada musim perayaan,” katanya.

Hasil kajian itu juga mendapati 53.6 peratus wanita lebih mementingkan penyediaan bajet hari raya berbanding 46.7 bagi lelaki.

Kebanyakan pengguna membelanjakan antara RM100 hingga RM300 seorang untuk membeli pakaian sendiri, pasangan, anak, kuih raya, juadah pagi raya, servis kenderaan dan pengangkutan serta duit raya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia menjelaskan sepatutnya pengguna tidak berhadapan masalah kekurangan bajet atau terlebih berbelanja.

Ini memandangkan hari raya disambut setiap tahun yang membolehkan mereka membuat perancangan dan persiapan awal termasuk dari segi simpanan khas untuk musim perayaan.

Contohnya, tahun lalu perbelanjaan keseluruhan semasa hari raya RM4,000 makanya kena simpan setiap bulan untuk mencukupkan jumlah perbelanjaan itu bukannya dengan mengharapkan duit gaji yang ada,” katanya.

Apa yang berlaku sebaliknya dan apabila perbelanjaan tidak mencukupi, ada yang sanggup berhutang daripada along dan menggunakan kad kredit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 10:47 AM