Kuala Lumpur: OSK Holdings Berhad (OSKH) optimis keputusan mengambil alih pegangan dua entiti dalam segmen hartanah iaitu OSK Property Holdings Berhad (OSKP) dan PJ Development Holdings Berhad (PJD) akan memberi impak positif terhadap perolehan kumpulan selepas proses penggabungan itu selesai, September ini.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OSKH, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, langkah terbabit bagi mengukuhkan posisi kewangan syarikat selain melonjakkan keuntungan dalam jangka masa panjang.

“Menerusi pengambilalihan ini, kita akan bergabung menjadi kumpulan hartanah peringkat pertama di Malaysia dengan memiliki segmen meliputi perkhidmatan kewangan, hartanah, hotel dan rekreasi, pembinaan, pengeluaran dan bahan binaan.

“OSKH akan memiliki 72.4 peratus ekuiti di OSKP manakala 31.6 peratus di PJD,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan OSKH, Ong Ju Yan dan Ketua Pegawai Eksekutif OSKH, Woon Chong Boon.

Beliau berkata, selepas proses pengambilalihan selesai, syarikat akan mempunyai keluasan tanah sebanyak 518.8 hektar di negara ini selain dua hektar di Melbourne, Australia dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM13.3 bilion.

Sementara itu, Ong berkata, penggabungan dengan kedua-dua entiti terbabit akan mampu meningkatkan perolehan kumpulan yang mencatatkan sebanyak RM386 juta pada tahun lalu.

Katanya, setakat ini syarikat akan menumpukan kepada perniagaan sedia ada yang majoritinya disumbangkan oleh sektor hartanah dan perkhidmatan kewangan.

“Segmen perkhidmatan kewangan dan hartanah akan terus menjadi penyumbang utama pendapatan syarikat dan kita mempunyai pelan pelancaran tiga hingga empat projek dengan GDV melebihi RM1 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:36 AM