Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) komited mencapai pertumbuhan lapan peratus bagi segmen pinjamannya didorong oleh perluasan dalam segmen pinjaman korporat dan pelaksanaan pelan perniagaan lima tahunnya bermula tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini berkata, segmen pinjaman MBSB meningkat antara dua dan tiga peratus tahun lalu berikutan rancangan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan CIMB Bank dan RHB Bank sebelum ini.

Beliau berkata, perkembangan MBSB dalam segmen korporat terutamanya pembiayaan pembangunan hartanah menyumbangkan pertumbuhan yang marginal dalam pinjaman bersih dan pendahuluan 2.4 peratus.

“Kami meletakkan penekanan yang lebih ke atas pinjaman korporat seperti pembiayaan kontrak, program pembiayaan perladangan, sewa beli perindustrian dan PFI (inisiatif kewangan swasta) untuk kontrak kerajaan.

“Sehingga Disember 2014, pinjaman bersih, pendahuluan dan pembiayaan MBSB berjumlah RM31 bilion berbanding RM30.3 bilion pada 2013,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MBSB, di sini, semalam.

Menurutnya, perolehan MBSB dijangka berkembang antara lima dan enam peratus pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:13 AM