ONG Ghee Bin
ONG Ghee Bin
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: OSK Property Holdings Berhad (OSK Property) bakal melancarkan tiga projek hartanah perbandaran dan kediaman pada tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM4.65 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ong Ghee Bin berkata, tiga projek hartanah terbabit ialah Ryan & Miho di Petaling Jaya, Iringan Bayu di Seremban, Negeri Sembilan dan Hika di Cheras.

Beliau berkata, Ryan & Miho dan Iringan Bayu, masing-masing dengan GDV sebanyak RM593 juta dan RM3.6 bilion akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini manakala, Hika dengan kos RM460 juta pula pada separuh kedua tahun ini.

“Kami ingin menawarkan projek baru dengan kawasan yang lebih strategik serta lokasi matang yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Jadi, tawaran tiga projek baru ini adalah tepat pada masanya khusus kepada mereka yang sedang mencari rumah pertama,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen 20188 OSK di sini, baru-baru ini.

Ryan & Miho yang mempunyai sehingga 1,084 rumah turut dilengkapi dengan fasiliti podium 0.89 hektar yang terletak di tengah-tengah kejiranan Seksyen 13, Petaling Jaya dengan jambatan penghubung ke Jaya One.

Sementara itu, Iringan Bayu pula adalah perbandaran dengan keluasan 311.61 hektar serta landskap taman serba hijau, Verdant Central Park seluas 8.9 hektar dan menawarkan 761 rumah untuk fasa pertamanya.

Bagi projek Hika yang terletak di fasa terakhir You City di Cheras adalah apartment servis dengan sambungan luar biasa kerana ia turut dihubungkan dengan kawasan pejalan kaki ke Stesen MRT Taman Suntex.

Mengulas mengenai prospek sektor hartanah pada 2018, Ghee Bin berkata, perkembangan hartanah dilihat akan kekal mendatar untuk tahun ini bagaimanapun, ia tidak menunjukkan trend penurunan.

Menurutnya, untuk tempoh beberapa bulan pada awal tahun akan wujud sentimen ketidaktentuan dalam pasaran memandangkan jangkaan pilihan raya umum, bagaimanapun ia akan kembali pulih seperti biasa.

“Orang ramai masih berhati-hati untuk tempoh ini dan pada masa sama faktor lokasi turut menjadi perhatian dalam kalangan pembeli,” katanya.

OSK Property mempunyai kira-kira 1,578.27 hektar bank tanah yang boleh dibangunkan dengan anggaran GDV berjumlah RM8 bilion.

Antara projek yang sedang dibangunkan syarikat hartanah itu adalah Luminari (Butterworth), Windmill Upon Hills (Genting Permai), Bandar Puteri Jaya (Sungai Petani) dan Emira (Shah Alam).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 12:33 AM