ANGGOTA tentera mencari saki-baki mayat mangsa di lokasi pesawat Hercules terhempas di Medan, Sumatera Utara, semalam.
ANGGOTA tentera mencari saki-baki mayat mangsa di lokasi pesawat Hercules terhempas di Medan, Sumatera Utara, semalam.
Reuters

Medan: Pihak berkuasa Indonesia semalam menamatkan operasi mencari dan menyelamat nahas pesawat tentera yang terhempas di kawasan kediaman di sini dan menyebabkan kira-kira 140 orang terbunuh.

Pesawat Hercules C-130B membawa 122 penumpang ketika terhempas tidak lama selepas berlepas pada Selasa lalu, menyebabkan semua penumpang dan beberapa penduduk maut.

“Kami tidak menemui mayat mangsa sejak semalam (kelmarin) dan berharap dapat menamatkan operasi mencari dan menyelamat hari ini (semalam),” kata jurucakap tentera, Fuad Basya.

Fuad berkata, seramai 135 mangsa disahkan terbunuh walaupun media tempatan melaporkan sekurangnya 141 mayat ditemui di lokasi nahas.

Insiden penerbangan terbaru melanda Indonesia itu menyebabkan ramai pihak mendesak Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggantikan pesawat usang yang masih digunakan tentera negara itu.

Pesawat Hercules C-130B yang terhempas itu digunakan sejak 50 tahun lalu.

Tentera udara Indonesia kini sudah kehilangan empat pesawat Hercules C-130B yang menjadi tulang belakang sistem pengangkutannya.

Susulan nahas itu, tentera Indonesia menggantung perkhidmatan lapan pesawat Hercules C-130B sementara menunggu penyiasat mencari punca kemalangan berkenaan.

Kejadian itu dijangka meningkatkan perbelanjaan ketenteraan Indonesia yang ketika ini antara paling rendah di rantau ini.

“Nahas di Medan menunjukkan peralatan pengangkutan tentera perlu diperbaharui segera,” kata anggota Parlimen, TB Hasanuddin.

“Kami menasihatkan kerajaan membeli pesawat baru, bukannya pesawat terpakai walaupun harganya mungkin mahal,” jelasnya.

Beberapa keluarga mangsa memberitahu, ahli keluarga mereka bukannya anggota tentera dan membayar untuk menaiki pesawat yang menuju ke Tanjung Pinang di Riau.

Bagaimanapun, tentera udara menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya ada peraturan tidak dipatuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 6:42 AM