anggota pasukan penyelamat menyelongkar serpihan pesawat bagi mencari mencari mangsa manakala jentera berat membersihkan runtuhan bangunan. - Foto  AFP
anggota pasukan penyelamat menyelongkar serpihan pesawat bagi mencari mencari mangsa manakala jentera berat membersihkan runtuhan bangunan. - Foto AFP

Medan: Seorang lelaki menceritakan bagaimana pesawat Hercules C-130n milik tentera Indonesia merempuh bangunan sebelum meletup dan terbakar dengan api setinggi empat tingkat.

“Semua orang panik dan menjerit. Saya sangka ia serangan pengganas dan nampak seorang lelaki berlari keluar dari bawah runtuh dengan pakaiannya terbakar. Mukanya yang kotor dengan debu dan arang, berlumuran darah.

“Tidak pernah saya berasa takut seperti ini sepanjang hidup, saya sangkan akan mati,” kata Tumpak Naibaho, 27, yang bekerja sebagai mekanik.

Menurutnya, ada ratusan orang di kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas tengah hari semalam.

Menurut penduduk, beberapa bangunan musnah akibat dirempuh dan dihempap pesawat tetapi tidak dapat dipastikan ia berpenghuni atau tidak. Menurut pihak berkuasa, pesawat itu merempuh satu pusat urutan dan sebuah hotel kecil sebelum terhempas.

Seorang lagi saksi, Januar, 26, berkata dia nampak pesawat itu datang dari arah lapangan terbang dan ketika itu ia sudah kelihatan menjunam.

“Selepas itu saya nampak api dan asap dari kawasan pesawat terhempas,” katanya.

Sejak semalam, pasukan penyelamat menggunakan jentera berat membersihkan runtuhan bangunan, serpihan pesawat serta kereta yang musnah dan menemui lebih banyak mayat yang sehingga kini sudah melebihi 140.

Selain 122 orang dalam pesawat yang terbunuh, belum dapat dipastikan jumlah mangsa di darat yang terbunuh kerana gerakan mencari masih diteruskan.

Pemerintah Tentera Udara Indonesia, Marshal Udara Agus Supriatna, berkata juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat itu perlu berpatah balik kerana mengalami masalah enjin.

“Pesawat terhempas ketika ia berpusing ke kanan untuk berpatah balik ke lapangan terbang,” katanya.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dan meletup dengan api menjulang kira-kira-kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 4:49 PM