BILIK penginapan luas dan moden memberikan keselesaan kepada tetamu.
BILIK penginapan luas dan moden memberikan keselesaan kepada tetamu.
KOLAM renang yang luas dan redup membuatkan aktiviti mandi-manda terutama si kecil cukup menyeronokkan.
KOLAM renang yang luas dan redup membuatkan aktiviti mandi-manda terutama si kecil cukup menyeronokkan.
PEMANDANGAN mempesona Selat Melaka yang mendamaikan.
PEMANDANGAN mempesona Selat Melaka yang mendamaikan.
Suliati Asri


Duduk santai di balkoni bilik sambil melihat pemandangan Selat Melaka yang bersempadan dengan Laut Andaman terbentang luas cukup mengujakan.

Pada waktu senja pula, pemandangan indah saat matahari mulai melabuhkan tirainya menyajikan panorama indah yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Angin bayu yang bertiup lembut pula bagaikan membawa bersama segala kecelaruan yang bermain di fikiran.

Itulah yang dirasai saat menginap di Resort World Langkawi. Justeru, bagi anda yang ingin keluar sebentar mencari kedamaian daripada hiruk-piruk kehidupan kota, Resort World Langkawi mungkin pilihan tepat.

Merasai sendiri pengalaman menginap di hotel yang menawarkan kemudahan moden dan pada masa sama membolehkan tetamu berkomunikasi dengan alam semula jadi ternyata pengalaman yang menyeronokkan.

Berhadapan Selat Melaka, Resort World Langkawi bukan saja dikelilingi persekitaran yang indah, malah kemudahan disediakan bertaraf dunia termasuk bilik yang baru diubah suai.

Pengubahsuaian itu dilakukan bagi meningkatkan keselesaan dan gaya penginapan menyeronokan kepada tetamunya.

Beroperasi sejak 1997, hotel ini tidak pernah gagal menarik perhatian tetamu dengan perkhidmatan terbaik, ditambah seni bina unik diilhamkan dari Mediterranean dan pelantar laluan pantai yang indah.

Resort yang terletak di hujung barat daya Pulau Langkawi dan hanya kira-kira 25 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Langkawi menawarkan 211 bilik.

Pengubahsuaian yang baru dilakukan memberi nafas baru kepada bilik jenis Deluxe Garden View, Deluxe Seaview dan Premier Seaview yang semuanya menyediakan ruang peribadi.

Bagi mereka yang mahukan perkhidmatan terbaik dan paling selesa, Premier Suite dan Presidential Suite pilihan tepat.

Selain penginapan selesa, pilihan menjamu selera ternyata tidak mengecewakan.

Terdapat tiga restoran dan kafe menawarkan hidangan yang pasti menyelerakan. Anda boleh menikmati keindahan panorama laut terbentang luas sambil menjamu selera.

Jika inginkan hidangan Asia dan antarabangsa, Seagull Coffeehouse tempatnya. Dibuka dari 7 pagi hingga 11 malam, kafe ini menawarkan semua makanan dan sajian utama secara bufet.

Zest di laluan pelantar pula menawarkan hidangan lazat sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Ia dibuka 12 tengah hati hingga 1 pagi.

Selesai menikmati hidangan makan malam, Lobby Lounge yang menawarkan minuman dan persembahan nyanyian pasti menghiburkan anda. Ia juga dibuka bermula 12 tengah hari hingga 1 pagi.

Sebuah resort atau hotel pastinya tidak lengkap tanpa kolam renang yang sentiasa menjadi lokasi si kecil berseronok sambil bermain air. Terdapat dua kolam disediakan di sini iaitu kolam kanak-kanak dan kolam dewasa.

Kemudahan lain seperti gimnasium dan spa turut disediakan buat pengunjung yang ingin bersenam, menikmati urutan tradisional atau aroma terapi yang menyegarkan.

Bagi tetamu yang ingin mengadakan majlis keramaian, seminar atau masyuarat, Resort World Langkawi menawarkan enam bilik mesyuarat selain sebuah grand ballroom.

Selain beristirahat di hotel, aktiviti sukan air seperti bermain jet ski, selam skuba dan snorkelling juga boleh dilakukan.

Resort ini juga menawarkan pakej mengunjungi lokasi menarik di sekitar Langkawi, antaranya Pantai Chenang, Langkawi Underwater World, kereta kabel di Gunung Mat Chinchang, Makam Mahsuri, Air Terjun Telaga Tujuh dan banyak lagi.

Terbaru, bagi anda yang inginkan suasana romantik sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam di tengah lautan dengan hidangan berbeku, pakej pelayaran turut disediakan. Keterangan lanjut layari www.rwgenting.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 12:43 PM