GRADUAN yang dilahirkan perlu bijak merebut peluang dalam pasaran.
GRADUAN yang dilahirkan perlu bijak merebut peluang dalam pasaran.
Fazurawati Che Lah
fazura@hmetro.com.my

STATISTIK terkini kadar pengangguran di Malaysia April lalu adalah pada kadar lima peratus.

Ini menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularannya memberi kesan kepada kadar pengangguran di Malaysia dan seluruh dunia.

Menerusi Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), ia sedikit sebanyak memberi kelegaan buat perusahaan kecil dan sederhana dan seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, setiap tahun institusi pengajian tinggi (IPT) terus melahirkan graduan pelbagai bidang untuk pasaran kerja walaupun isu kebolehpasarannya seringkali dibangkitkan.

Apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan pihak berkepentingan khususnya IPT dalam memastikan graduan dan IPT tempatan boleh bersaing dalam pasaran kerja?

Malah, lebih penting ialah membuka pasaran kerja baharu melalui penciptaan kerja baharu.

JAHITAN antara kemahiran yang boleh ditambah oleh penuntut.
JAHITAN antara kemahiran yang boleh ditambah oleh penuntut.

Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ridzwan Che Rus berkata, dalam konteks ini, IPT boleh merancang program baharu dan sedia ada dengan kerjasama industri untuk memastikan kurikulum IPT relevan dengan keperluan industri.

Jelasnya, walaupun IPT tidak semestinya mengikut 100 peratus acuan industri, namun kemahiran, pengetahuan dan sikap perlu dilatih serta diterapkan graduan mengikut pasaran kerja yang bakal dimasuki graduan kelak.

"IPT boleh berbincang dengan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang Pengeluar Malaysia (FMM) yang seringkali mengeluarkan pandangan berkaitan isi kebolehpasaran graduan.

"Pada masa sama, IPT wajib merancang kurikulum yang kalis masa depan dan organik bagi melahirkan graduan yang dinamik, proaktif, inovatif, penyelesai masalah dan kritis serta bercirikan keusahawanan.

"Ini bagi menyediakan graduan dengan pelbagai cabaran mendatang tidak kira revolusi industri keempat atau kelima atau Masyarakat 5.0," katanya.

Katanya, graduan yang mempunyai kemahiran yang kalis masa depan mampu menghadapi apa jua isu dan inovatif dalam keluar dari masalah seperti pandemik Covid-19.

PEMBUATAN pastri antara bidang yang mendapat sambutan.
PEMBUATAN pastri antara bidang yang mendapat sambutan.

Sebagai contoh katanya, apabila diberhentikan kerja akibat banyak syarikat swasta yang tidak mampu bertahan khususnya sektor pelancongan, graduan yang bekerja dalam bidang itu boleh mula mengusahakan perkhidmatan berasaskan penghantaran makanan atau perkhidmatan pencucian pejabat dengan kemahiran yang ada pada mereka.

"Lebih penting ialah mereka sanggup menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah hilang pekerjaan selain mampu bangkit segera.

"Kemahiran penyelesaian masalah ini sangat penting ketika ini kerana bukan sahaja masalah pekerjaan, tetapi masalah psikologi dan tekanan juga penting untuk diselesaikan bersama," katanya.

Graduan yang dilahirkan dari IPT juga perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk nilai tambah mereka bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Menurut Dr Ridzwan, UPSI turut menyediakan sijil tambahan kepada graduan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Mutawwif, Sijil Eksekutif Halal, Sijil Perunding Kewangan Profesional dan banyak lagi sijil untuk menambah nilai mahasiswa.

"Selain itu, graduan digalakkan menguasai minimum tiga bahasa bagi memastikan mereka bukan sahaja boleh bekerja di Malaysia, malah juga di luar negara," katanya.

Dalam menghadapi cabaran peluang pekerjaan yang semakin sedikit, tetapi bilangan graduan yang semakin bertambah, Dr Ridzwan berkata, keusahawanan bukan lagi satu pilihan, tetapi wajib dilaksanakan dalam kurikulum dan latihan mahasiswa IPT bagi membolehkan mereka berdaya saing.

BERGELAR petani mampu menjana pendapatan lumayan.
BERGELAR petani mampu menjana pendapatan lumayan.

"Keusahawanan perlu bermula dari tahun satu lagi di IPT bukan sekadar satu atau dua kursus, tetapi secara holistik mahasiswa dibentuk untuk meningkatkan lagi bakat keusahawanan mahasiswa itu sendiri.

"Banyak peluang dalam talian di dalam dan luar negara untuk mendapat modal permulaan dengan membentangkan idea yang menarik untuk menarik minat pelabur.

"Banyak syarikat yang wujud adalah idea usahawan muda di Malaysia yang semakin kreatif mencipta perniagaan sosial mahupun berasaskan keuntungan dalam menambah nilai hidup manusia dengan menyelesaikan masalah sekeliling," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan krisis ekonomi akibat pandemik ini salah satu pilihan yang ada buat graduan adalah menambah kemahiran baharu dan menjajarkan ia mengikut peluang kerja.

Hal ini kerana katanya, graduan kadangkala terpaksa dilatih semula dalam bidang lain bagi memastikan mereka relevan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

"Banyak ruang dan peluang yang diberikan kerajaan untuk menambah kemahiran di Institusi Latihan Kemahiran terpilih secara percuma atau kos minimum untuk mereka yang diberhentikan kerja.

"Dalam dunia pekerjaan yang penuh cabaran ini kemahiran adalah suatu kelebihan. Pilih untuk menambah kemahiran atau inovatif dalam menyelesaikan masalah atau terus terbelenggu dalam statistik pengangguran," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 7:00 AM