ANTARA babak yang bakal disaksikan dalam Memori Cinta Suraya.
ANTARA babak yang bakal disaksikan dalam Memori Cinta Suraya.
ANTARA babak yang bakal disaksikan dalam Memori Cinta Suraya.
ANTARA babak yang bakal disaksikan dalam Memori Cinta Suraya.
Oleh Michelle Gun


Berikutan sambutan luar biasa di Mexico, telenovela popular bahasa Sepanyol, A Love To Remember kini diangkat Astro untuk diadaptasikan menjadi drama Melayu.

Mengisahkan usaha seorang isteri untuk menambat semula hati suaminya yang sudah pulih ingatan, drama yang diberi judul Memori Cinta Suraya itu akan diterbitkan dalam 148 episod.

Membariskan pelakon popular seperti Anzalna, Hisyam Hamid, Miera Leyana dan Liza Abdullah, drama arahan Feroz Kader itu dijangka menemui penonton mulai 17 Ogos ini di Astro Prima.

Masih dalam penggambaran lagi, pembikinan drama Memori Cinta Suraya itu hasil kerjasama produksi terbesar program Sepanyol, Azteca dengan Astro dan syarikat produksi tanah air, Global Station.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar berkata, adaptasi format telenovela itu sebagai usaha untuk memperkenalkan pelbagai program kepada pelanggan Astro.

“Biasanya, drama di negara ini paling banyak 80 episod. Jadi, pembikinan drama Memori Cinta Suraya ini sebagai eksperimen untuk produksi.

“Walaupun masih dalam penggambaran, drama ini sudah mendapat sambutan baik daripada orang ramai,” katanya.

Katanya, drama itu bukan mengisahkan percintaan semata-mata, tetapi pada masa sama mempromosikan lokasi menarik di Malaysia.

“Dalam telenovela asal, banyak lokasi menarik di sekitar Mexico dipaparkan kepada penonton dan untuk Memori Cinta Suraya pula, Langkawi menjadi destinasi pilihan penggambaran drama ini,” katanya.

Menyedari perbezaan budaya masyarakat Malaysia, Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Projek Azteca di Asia, Martha Contreras mengakui pembikinan drama itu bukan mudah.

“Disebabkan drama ini memerlukan proses pembikinan lama, ia membabitkan banyak pihak dalam penulisan skrip, penggambaran dan produksi.

“Salah satu cabaran besar adalah untuk memastikan adaptasi drama ini sesuai untuk masyarakat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, telenovela itu meraih tontonan lebih 30 peratus daripada 180 juta penduduk di Mexico setiap kali ditayangkan.

“Ketika telenovela itu dipilih untuk diadaptasi sebagai drama Melayu, ia masih ditayangkan di Mexico.

“Pada asalnya, telenovela itu hanya diterbitkan dalam 120 episod, namun ditambah lagi sehingga 148 episod berikutan sambutan luar biasa,” katanya.

Sebelum mengadaptasikan karya asal A Love To Remember kepada drama Melayu, penerbitnya Datin Zaiton Muhd Jiwa berkata, beberapa proses perlu dilakukan yang membabitkan tiga penulis skrip.

“Tugas penulis itu adalah menterjemah skrip daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia. Mereka juga perlu mengkaji sama ada kandungan jalan cerita drama asal sesuai dengan budaya masyarakat tempatan,” jelasnya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon pula, Zaiton berkata, pihaknya amat menitikberatkan tahap disiplin pelakon.

“Pemilihan Anzalna dan Hisyam bagi watak utama berdasarkan perbincangan Global Station dan Astro. Ada 30 artis di set dan mereka tidak pernah menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan penggambaran.

“Kami mahu pelakon yang boleh memberi komitmen sepenuhnya dalam drama ini,” katanya.

Tambahan pula, Zaiton berkata, kedua-dua pelakon itu hampir mirip hero dan heroin asal drama A Love To Remember.

“Bukan itu saja, nama Anzalna juga semakin popular dalam industri hiburan tanah air,” katanya.

Penggambaran drama Memori Cinta Suraya bermula pada September tahun lalu dan dijangka selesai pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 1:13 PM