DRAMA adaptasi Memori Cinta Suraya bakal temui penonton 17 Ogos ini.
DRAMA adaptasi Memori Cinta Suraya bakal temui penonton 17 Ogos ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Bukan mudah mengadaptasi drama popular Mexico, A Love to Remember mengikut acuan budaya tempatan apatah lagi perlu mematuhi garis panduan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Bagaimanapun dengan kerjasama dan komitmen jitu semua pihak, Memori Cinta Suraya bakal menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 17 Ogos ini menerusi saluran Astro Bella dan Astro Mustika HD.

Drama arahan Mohamed Feroz Kader ini menyaksikan kerjasama tiga pihak iaitu Azteca, pengeluar ranca­ngan televisyen berbahasa Sepanyol terbesar di dunia, Astro dan Global Station.

Feroz berkata, pihaknya menyedari drama A Love to Remember berbeza dengan norma hidup budaya orang Timur dan kerana itu perlu berhati-hati apabila mengadaptasi karya terbabit.

“Kami perlu ikut garis panduan yang sudah ditetapkan LPF. Tak dinafikan drama ini ada banyak babak cinta, tetapi kami ubah suai agar tidak keterlaluan.

“Kami peka dengan sensitiviti masyarkat dan berjaya me­ngikut semua syarat yang ditetapkan walaupun awalnya agak susah,” katanya pada sidang media drama berkenaan baru-baru ini.

Penghasilan drama 148 episod ini antara yang terpanjang apabila memakan masa selama setahun dan dijangka tamat bulan depan.

Memori Cinta Suraya mengisahkan usaha seorang isteri menambat semula hati suaminya yang hilang ingatan.

Drama ini bukan berkisar percintaan semata-mata sebaliknya turut mempromosi destinasi menarik dalam negara antaranya Langkawi.

Penerbit Global Station Sdn Bhd Datin Zaiton Muhd Jiwa berkata, sebelum mengadaptasikan karya asal A Love To Remember kepada drama Melayu, beberapa proses dilakukan membabitkan tiga penulis skrip.

“Mereka bertanggungjawab menterjemah skrip daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia. Mereka juga perlu mengkaji sama ada kandungan jalan cerita drama asal sesuai dengan budaya masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen barisan pelakon dan kru drama ini yang kental berdepan dugaan sepanjang penggambaran.

“Saya menggandingkan 30 artis ternama termasuk Anzalna Nasir, Hisyam Hamid, Miera Leyana dan Afiq Muiz. Mereka sangat komited sepanjang penggambaran dan tidak menimbulkan masalah di lokasi.

“Mereka juga bekerja seperti satu keluarga besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:00 AM