BARISAN pelakon yang terbabit dalam drama Memori Cinta Suraya.
BARISAN pelakon yang terbabit dalam drama Memori Cinta Suraya.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat tempatan, drama bersiri Memori Cinta Suraya (MCS) yand diadaptasi daripada siri popular Mexico, A Love To Remember melakar sejarah apabila ditayangkan di Indonesia, bulan ini.

Karya terbitan Global Station Sdn Bhd itu berjaya mencecah rating 1.5 juta penonton sejak ditayangkan di Astro Prima dan Maya HD pada 17 Ogos 2015.

Ternyata, gandingan mantap Hisyam Hamid, Anzalna Nasir, Miera Liyana dan Afiz Muiz menjadi antara faktor kejayaan MCS yang baru sahaja melabuhkan tirai, baru-baru ini.

Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Alia Ramly berkata, MCS satu-satunya drama bersiri tempatan yang berjaya menembusi pasaran Indonesia setakat ini.

“Kami bangga dengan pencapaian MCS yang berjaya membuka mata stesen TV Indonesia. MCS ditayangkan dalam slot sinetron dan dialih suara ke dalam bahasa Indonesia.

“Lebih memberangsangkan ada permintaan MCS dipasarkan di 20 negara termasuk Amerika Latin dan Timur Tengah. Diharap drama ini membuka peluang kepada pelakon kita dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

MCS membabitkan kerjasama Global Station, Astro dan Azteca yang juga antara pengeluar rancangan televisyen bahasa Sepanyol terbesar di dunia.

Zetty ditemui di majlis tayangan episod akhir drama MCS bersama 70 ahli kelab peminat yang berlangsung di Bukit Jelutong, Shah Alam, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, seorang lagi Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Adila Ramly.

Drama bersiri MCS arahan Feroz Kader ini turut dibintangi Marisa Yasmin, Tunku Hanis, Iqram Dinz­ly, Liza Abdullah, Syafnida Shuhaimi, Kay Khydir, Nafiez Zaidi, Nazeera Sardi, Syuhaida Abraz, Arash Mohd, Watie Sadali, Kufrida, Zarynn Min, Riezman Khuzaimi, Mahmud Ali Bashah, Zila Bakarin, Farid Wari dan Aleza Shadan.

MCS bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.30 petang di saluran Astro Prima dan Maya HD.

Hasilkan drama La Loba

Selain MCS, Global Station turut menerbitkan satu lagi projek drama bersiri La Loba (The Wolf) yang dijangka ditayangkan tahun ini.

Zetty Alia berkata, banyak ilmu yang dipelajarinya sepanjang pembikinan MCS.

“Selaku penerbit, kami akan memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan drama bersiri selepas ini lebih berkualiti,” katanya.

Sementara itu, drama 30 episod Uda dan Dara bersiaran di saluran Astro Prima bermula 24 Februari lalu.

Drama bersiri adaptasi novel Aisya Sofea arahan bersama Mohd Zafizam Zahir dan Feroz Kader ini menggandingkan Zul Ariffin dan Siti Saleha sebagai teraju utama.

“Uda dan Dara ada kekuatan tersendiri. Pihak kami berharap drama ini mendapat sambutan hangat dan meraih rating yang bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:08 AM