HISYAM berasakan seperti bermimpi apabila ditawarkan berlakon drama bersiri Memori Cinta Suraya.
HISYAM berasakan seperti bermimpi apabila ditawarkan berlakon drama bersiri Memori Cinta Suraya.
Syanty Octavia Amry


Membintangi Memori Cinta Suraya yang dilabel sebagai drama tempatan terpanjang setakat ini satu pengalaman cukup berharga pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid.

Bergandingan dengan Anzalna Nasir, Hisyam berkata peluang menjayakan drama 137 episod itu tidak wajar dilepaskan.

Apatah lagi karya yang hangat bersiaran di di Astro Prima dan Maya HD setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6 petang sejak 17 Ogos lalu itu adaptasi drama popular Mexico, A Love To Remember.

“Alhamdulillah, drama ini satu permulaan yang baik buat saya. Seakan-akan bermimpi apabila ditawarkan menjayakan drama ini.

“Walaupun sebelum ini pernah beraksi dalam drama bersiri panjang iaitu Cinta Ibadah, Memori Cinta Suraya jauh lebih panjang. .

“Difahamkan drama ini bakal ditayangkan di 10 negara termasuk Mexico dan Turki,” katanya.

Hisham turut menegaskan andai ada lamaran berlakon di luar negara selepas ini, dia tidak teragak-agak menerima tawaran itu.

“Siapa yang tak mahu belakon di luar negara? Andai ada peluang saya pasti tak tolak.

“Ia ibarat bulan jatuh ke riba. Saya tidak ada masalah untuk ke mana-mana negara untuk berlakon,” katanya memaklumkan drama itu menggunakan format sama seperti karya asal, namun di Mexico ia 148 episod.

Masih terikat dengan penggambaran Memori Cinta Suraya, Hisyam berkata dia tidak dapat menerima tawaran menjayakan drama lain.

Dalam pada itu, beberapa telefilem lakonannya ditayangkan di televisyen antaranya, Nawaitu Cinta yang menggadingkannya dengan Ayda Jebat.

“Buat masa ini fokus saya hanyalan pada Memori Cinta Suraya. Ikut jadual penggambaran dijangka selesai pada November ini.

“Ada beberapa tawaran drama lain, namun masih dalam pertimbangan. Walaupun komitmen dengan Memori Cinta Suraya ambil masa lama saya tidak ralat kerana masih berpeluang menjayakan telefilem.

“Pun begitu saya hanya boleh terima penggambaran yang mengambil masa selama seminggu. Jika lebih daripada itu, saya terpaksa tolak kerana bimbang mengganggu jadual pengambaran Memori Cinta Suraya,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:01 AM