KAJI watak orang buta.
KAJI watak orang buta.
Oleh Michelle Gun


Peluang memegang watak utama dalam karya antarabangsa bukan selalu hadir.

Apatah lagi tawaran itu dilihat dapat mengukuhkan lagi nama dalam industri seni tanah air dan luar negara.

Bagi Hisyam Hamid, 30, peluang berlakon sebagai hero dalam drama Memori Cinta Suraya seharusnya dihargai lebih-lebih lagi karya itu adaptasi telenovela popular di Mexico.

Berkongsi pengalaman berlakon dalam drama itu yang turut dibintangi Anzalna Nasir, Hisyam berkata, dia banyak membuat kajian mengenai wataknya sepanjang karier dalam bidang seni.

“Dalam drama ini, saya berlakon sebagai Megat Rayyan yang akan menjadi buta. Jadi, untuk mengetahui karakter orang buta, saya menonton klip video mengenai golongan istimewa ini di YouTube.

“Selain itu, saya mengenali seorang jiran yang cacat penglihatan dan dia juga menjadi rujukan saya,” katanya.

Menurut pelakon kelahiran Singapura ini, bagi mendalami lagi wataknya, dia menyaksikan 10 episod awal drama asal Memori Cinta Suraya atau A Love to Remember dan selebihnya berdasaran garis panduan yang diberikan produksi.

“Walaupun tanggungjawab dalam drama ini besar, saya melihat ia peluang baik untuk menaikkan nama dalam industri seni

“Justeru, saya amat berbesar hati dan teruja kerana diberi peluang untuk memegang watak penting dalam drama ini,” katanya.

Babak romantik diubah suai

Menyedari drama asal itu menyelitkan banyak babak romantik, Hisyam tidak begitu bimbang dengan perkara itu.

“Bagi versi Memori Cinta Suraya, skripnya diubah suai supaya bersesuaian dengan budaya masyarakat Malaysia.

“Kalau ikut drama asal memang ada banyak babak sensitif dan kurang sesuai dengan budaya masyarakat negara ini,” katanya.

Drama arahan Feroz Kader itu bakal ditayangkan di 10 negara termasuk negara Afrika dan Turki pada Ogos ini selepas mendapat sambutan baik ketika ditayangkan di Festival Filem Cannes tahun lalu.

Drama 148 episod itu akan disiaran di saluran Astro Bella mulai 2 Ogos ini.

Selain Memori Cinta Suraya, Hisyam juga bakal muncul dalam filem Kau Yang Satu gandingan bersama pelakon popular Aaron Aziz dan Izara Aishah.

Menurutnya, filem itu selesai penggambaran dua bulan lalu dan terbitan Global Station.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 9:13 AM