Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Melakukan amal kebajikan bagi membantu golongan memerlukan amat dituntut dalam agama terutama apabila ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Tidak perlu perbelanjaan besar, memadai dimulakan dengan tindakan dan perbuatan kecil, tetapi bermakna seperti menderma kepada golongan yang memerlukan. Justeru, kehadiran bulan mulia seperti Ramadan boleh dimanfaatkan sebagai masa terbaik mengamalkan usaha murni seperti bersedekah bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Bukan sekadar usaha individu, amalan syarikat korporat seperti Colgate-Palmolive Malaysia juga terbukti apabila tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam membantu meningkatkan keyakinan dan keperluan rumah kebajikan serta anak yatim di seluruh negara.

Menerusi Kempen Mari Beramal Bersama Colgate (MBBC) yang juga program tahunan bagi memenuhi CSR syarikat itu, pelbagai program dirangka termasuk kem motivasi membabitkan pelajar dari rumah anak yatim terpilih.

Melalui MBBC juga, Colgate menderma 10 dan 20 sen untuk setiap pek tunggal atau berkembar yang dijual, bagi menambah baik 15 rumah anak yatim di bawah JKM.

Inisiatif ini bermula pada 1 Jun hingga 31 Julai. Pek sumbangan Colgate boleh didapati di gedung beli-belah utama di seluruh negara.

Pengarah Kanan (Pemasaran Ubat Gigi) Colgate-Palmolive Malaysia, Datin Nor Aziah Mohd Said berkata, program itu dijalankan pada bulan Ramadan dengan harapan ia dapat menyatukan rakyat Malaysia dalam semangat kasih sayang dan amalan.

“Ketika kita berterima kasih antara satu sama lain, kita juga mengambil berat terhadap mereka yang ada di sekeliling kita sepanjang bulan yang mulia ini, “ katanya.

Dengan tema I Am My Own Greatness, MBBC 2015 dilancarkan pada 12 Jun lalu oleh Pengarah Bahagian Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli Ismail di Kem Saya Boleh, satu kem motivasi yang dianjurkan untuk memupuk keyakinan dalam diri kanak-kanak dan menyerlahkan kemahiran kepemimpinan mereka - aspek kritikal untuk pembangunan diri mereka.

Kem itu diadakan untuk lebih 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari enam rumah anak yatim di bawah seliaan JKM sekitar Semenanjung.

Kem itu adalah refleksi kepada tema I Am My Own Greatness yang memberi fokus untuk merangsang inspirasi dan motivasi kanak-kanak supaya percaya terhadap impian masing-masing dengan cara memperkasakan diri mereka dalam membuat keputusan penting dalam hidup.

Kem itu bertujuan membantu kanak-kanak mendapat kekuatan dan keyakinan, selain percaya terhadap kemampuan diri serta peluang untuk memiliki masa depan yang lebih cerah dan baik.

Kem Saya Boleh diakhiri dengan satu ceramah motivasi daripada pengasas Animonsta Studios, pencipta siri televisyen popular, BoBoiBoy. Mereka belajar kaedah untuk mengenal pasti kekuatan dan kemampuan diri. Dengan menjadi lebih berdikari, diharapkan mereka akan berkongsi kisah kejayaan satu hari nanti.

Berkongsi kisah kejayaan pelajar yang pernah mengikuti program MBBC, penjaga Pertubuhan At-Taqwa, Perak, Fatimah Wahab berkata, Kem Kejar Impian diadakan di Negeri Sembilan tahun lalu disertai kanak-kanak daripada pertubuhan itu menjadi pengalaman terbaik buat mereka. Ia memberi pendedahan yang diperlukan supaya mereka keluar daripada kepompong, memandangkan latar belakang mereka yang kurang bernasib baik.

“Kem motivasi ini amat signifikan buat kami kerana menyentuh kisah salah seorang anak yatim di bawah jagaan kami, Nurul Ain Mohd Salleh, 12, yang terpaksa menerima hakikat kehilangan ibunya yang meninggal dunia.

“Pada usia semuda itu, Nurul nyata sukar menerima kehilangan ibunya dan sentiasa diam dan menjauhkan diri daripada orang ramai. Dia juga tidak berani untuk membuat keputusan sendiri.

“Namun, apabila Nurul pulang dari Kem Kejar Impian, kami sedar ada perubahan dalam dirinya dan menjadi lebih berani bersuara. Semua perubahan ini identiti diri, harga diri, kepimpinan dan hormat kendiri nyata membantu membina keupayaan dirinya.

“Inilah kualiti yang kami harap dapat dipupuk ke dalam diri anak-anak ini memandangkan ia menjadi kunci dalam membina negara dan masyarakat yang berjaya. Ceramah motivasi juga memainkan peranan penting dalam perubahan yang dapat kami lihat, bukan pada Nurul saja, tetapi semua anak ini. Keyakinan diri mereka meningkat dengan begitu mendadak mereka lebih tegas dan benar-benar faham cara untuk membuat keputusan. Tahap berdikari mereka yang mendadak memang mengagumkan dan kami sangat bangga dengan perubahan itu,” katanya.

Justeru, Fatimah berkata, kem motivasi seperti Kem Kejar Impian sememangnya satu ruang yang memberi peluang kepada anak-anak ini untuk menyerlahkan potensi masing-masing, malah lebih penting, mereka bersemangat menikmati hidup dan tidak terkongkong oleh rasa takut atau cabaran.

Sejak dimulakan pada 2008, MBBC berjaya mengumpul sumbangan RM1,077,500, sekali gus mampu memberi sokongan sewajarnya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan rumah kebajikan di bawah seliaan JKM.

Selain sumbangan, kakitangan Colgate turut menjadi sukarelawan untuk membantu membaiki bilik belajar di rumah anak yatim bagi memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada penghuninya.

Bukan itu saja, kempen itu turut bermatlamat memupuk kemahiran hidup di samping memberi inspirasi dan memperkasakan mereka dalam membuat keputusan yang lebih besar dalam hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 11:27 AM