SYSTEMA lancar kempen kesihatan gusi.
SYSTEMA lancar kempen kesihatan gusi.
Aniza Zainudin


SEMPENA Bulan Kesihatan Mulut 2019 bertemakan ‘Kesihatan Seluruh Mulut’ yang disambut setiap Mac, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membudayakan amalan penjagaan oral yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kajian Kesihatan Mulut Kebangsaan 2010 mendedahkan sembilan daripada 10 orang dewasa mengalami masalah periodontal dan karies gigi, manakala 75 peratus tidak menyedari kepentingan mengekalkan kebersihan mulut.

Menyedari hakikat itu, Colgate-Palmolive Malaysia (Colgate) dan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) meneruskan inisiatif tahunan kempen ‘Kesihatan Seluruh Mulut’ bagi menyebarkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Hub ASEAN Selatan, Amanda Klemm berkata, rakyat Malaysia hanya melihat penjagaan mulut merujuk kepada gigi, sebaliknya penjagaan itu merangkumi gusi, lidah dan pipi secara holistik.

“Dengan kemajuan teknologi pergigian hari ini, banyak kaedah disediakan bagi membantu melindungi kesihatan seluruh mulut daripada masalah bakteria, sisa makanan serta plak gigi.

“Statistik menunjukkan 94 peratus orang dewasa memerlukan khidmat nasihat mengenai kebersihan mulut.

“Kita berharap kerjasama dengan MDA dapat mendidik dan berkongsi maklumat berkaitan penjagaan mulut secara keseluruhan.

“Sempena Bulan Kesihatan Mulut juga, Colgate turut menawarkan akses perkhidmatan pergigian termasuk pemeriksaan gigi percuma di 560 klinik pergigian swasta seluruh negara.

“Kita percaya mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya dalam forum kesihatan mulut dan pelancaran produk Colgate Total, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Systema melancarkan kempen kesedaran pemeriksaan kesihatan gusi untuk membantu menambah baik kesihatan mulut bersama MDA, ‘Ke Arah Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte Systema’.

Kempen Gumbatte mengambil semangat daripada perkataan Jepun ‘ganbatte’ yang bermaksud ‘anda boleh melakukannya’.

Sekali gus menyeru rakyat Malaysia supaya menjaga kesihatan gusi mereka dan mencapai sejuta pemeriksaan gusi.

Tujuan kempen ini dianjurkan adalah untuk membantu rakyat Malaysia mencapai tahap kesihatan oral yang lebih baik dengan matlamat utama, memberi motivasi kepada orang ramai supaya mengekalkan 20 batang gigi asal mereka apabila berusia 60 tahun dan ke atas.

Mereka boleh menikmati kesihatan sepanjang hayat, selari dengan matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Dr Norliza Mohamed berkata, kesihatan mulut sering dilihat sebagai kurang penting berbanding kesihatan umum yang lain.

Namun, sikap ini perlu diubah kerana masalah berkaitan mulut adalah isu kesihatan yang serius.

Menurutnya, kajian menunjukkan wujud hubung kait antara penyakit gusi dengan serangan jantung, diabetes dan terbaru, Alzheimer yang disifatkan mengancam nyawa dan menjejaskan kualiti kehidupan pesakit serta keluarga mereka.

Katanya, jika pengesanan dan rawatan awal penyakit gusi boleh merendahkan korelasi ini, ia wajar diterokai.

Dr Norliza berkata, kempen ini turut membantu Bahagian Penjagaan Oral, KKM mendidik lebih ramai penduduk mengenai keperluan menjaga kesihatan gusi dan oral dengan lebih cepat.

Sementara itu, Presiden MDA, Dr Leong Kei Joe mengakui pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia menjejaskan kesihatan mulut secara keseluruhan.

Justeru, pencegahan masalah pergigian dan penjagaan kesihatan mulut menyeluruh adalah langkah terbaik berbanding merawatinya.

“Selain itu, usaha mengurangkan penyakit gusi perlu dimulakan dengan mengubah persepsi mengenai penyakit gusi sepenuhnya.

“Kesedaran terhadap penyakit gusi memang serius dan berpotensi memberi impak kepada kualiti hidup, selain mempunyai kaitan dengan penyakit berbahaya.

“Terlalu ramai antara kita melihat tanda penyakit gusi seperti berdarah ketika memberus sebagai sesuatu yang normal,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mengenal pasti tanda dan simptom penyakit gusi.

Jelasnya, jadi mereka tahu apabila ada sesuatu yang tidak kena, mereka boleh mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:01 AM