AZIZAH (bertudung merah) menyampaikan sumbangan Colgate-Palmolive Malaysia kepada wakil rumah kebajikan.
AZIZAH (bertudung merah) menyampaikan sumbangan Colgate-Palmolive Malaysia kepada wakil rumah kebajikan.
Faizatul Farlin Farush Khan

Melalui Kempen Mari Beramal Bersama Colgate kali kelapan yang berlangsung pada Jun hingga Julai lalu, dana berjumlah RM105,000 berjaya dikumpulkan untuk diagihkan kepada 15 rumah kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Cek sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun bersama Pengarah Undang-Undang Colgate-Palmolive Malaysia, Wanazlina Idaham Merican kepada wakil rumah kebajikan berkenaan.

Menurut Wanazlina, kempen itu dianjurkan bertujuan memupuk semangat memberi dan berkongsi dalam masyarakat. Pihaknya sentiasa komited dalam usaha meraikan, memperkasakan dan memperkayakan kehidupan kanak-kanak.

“Kempen tahunan ini juga menjadi platform untuk kami bersama anggota masyarakat membabitkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan menyumbang kepada masyarakat setempat,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar KPWKM, Dr Waitchalla RRV Suppiah; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KPWKM, Tan Lee Cheng dan Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman.

Selari dengan matlamat kempen, kakitangan Colgate-Palmolive Malaysia juga menziarahi Pertubuhan Anak Yatim AlKhair Seremban dan bersama-sama menggantikan perabot di ruang belajar rumah itu dan menyusun serta menghias semula ruang berkenaan.

Mereka turut membina semula rak buku bagi menempatkan bahan bacaan untuk kanak-kanak yang masih belajar pada peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pada masa sama, kem motivasi ‘Kem Saya Boleh’ dianjurkan selama sehari untuk memupuk jati diri dan mendorong kanak-kanak mengejar impian masing-masing. Kem berkenaan disertai 124 murid dari enam rumah anak yatim.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 2008, kempen Mari Beramal Bersama Colgate hingga kini berjaya mengumpul sumbangan RM1,182,500.

Setiap tahun, sumbangan dikumpulkan dimanfaatkan untuk rumah anak yatim dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan kewangan, selain penganjuran aktiviti lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara, Zoo Negara, Taman Tema Sunway Lagoon dan Planetarium Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 5:00 AM