Karim (kanan) menerima surat penyerahan tugas daripada Zainal   pada AGM KOM  ke-11 di Dewan Komanwel MSN, Bukit Jalil.
Karim (kanan) menerima surat penyerahan tugas daripada Zainal pada AGM KOM ke-11 di Dewan Komanwel MSN, Bukit Jalil.

Kuala Lumpur: Awan gelap menyelubungi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berikutan prestasi hambar atlet pada kejohanan antarbangsa selama dua tahun lalu di bawah kepemimpinan Datuk Zainal Abidin Ahmad ingin ditebus presiden baru Datuk Karim Ibrahim dengan menjanjikan pelan pembangunan lebih efektif di semua peringkat khususnya akar umbi.

Karim yang memenangi perebutan kerusi nombor satu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM ke-11 semalam, menewaskan bekas Timbalan Presiden penggal lalu Datuk Wan Hisham Wan Salleh menerusi 33 undi berbanding hanya lapan diperolehi Wan Hisham.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang mengundi saya. Apa yang lebih penting bagi saya, sukan olahraga harus diangkat kembali martabatnya ke tahap tertinggi.

“Kita perlu fokus kepada aspek pembangunan dan itu adalah keutamaan saya dan KOM selepas ini. Saya bercadang mewujudkan pusat latihan kecemerlangan, di mana kali terakhir kita pernah wujudkan pada tahun 80-an, tapi sekarang kita perlu wujudkan lebih banyak lagi di setiap negeri.

“Saya juga mahu MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menempatkan jurulatih asing di pusat-pusat itu setiap negeri.

“Ini adalah program jangka panjang yang baik, dan jika mahu melihat atlet kita bersaing dengan jaguh serantau ianya harus bermula sekarang,” katanya selepas AGM KOM di Dewan Komanwel MSN, semalam.

Disebalik kemenangan itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) terpaksa berdepan cubaan menghalangnya daripada bertanding.

Namun, serangan peribadi dilakukan beberapa bekas atlet dan jurulatih kebangsaan dengan cubaan mengheret Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan menghantar petisyen berhubung salah guna kuasa sebelum ini mahu segera dilupakan Karim dan sedia memaafkan kumpulan terbabit.

“Saya tidak ada niat untuk mengambil apa jua tindakan terhadap mereka, biarlah kita berkerjasama. Mungkin mereka tidak memahami perkara sebenar yang berlaku dalam KOM.

“Tetapi, jika ada unsur fitnah itu cerita lain. Apapun, saya mahu pandang ke depan dan naikkan mutu sukan olahraga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:00 AM