Kuala Lumpur: Semangat bekas Timbalan Presiden Datuk Karim Ibrahim sedikitpun tidak tergugat walaupun wujud cubaan untuk menghalangnya daripada merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Sabtu ini.

Karim yang menerima pencalonan paling tinggi dengan enam undi berbanding dua pencabar lain, bekas Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim (2) dan Timbalan Presiden semasa Datuk Wan Hisham Wan Salleh (1), dilihat berada di kedudukan selesa untuk memenangi kerusi panas itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Namun, serangan peribadi yang dilakukan beberapa bekas atlet dan jurulatih kebangsaan dengan cubaan membabitkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilihat oleh Karim sebagai taktik kotor untuk menghalangnya.

Menurut Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) itu, tindakan kumpulan berkenaan dianggap tidak profesional kerana cuba menghalangnya daripada bertanding malah mereka juga sengaja ingin mencabar keputusan mahkamah yang memutuskan segala pertuduhan ke atasnya sebelum ini tidak sah dan terbatal.

“Jangan sesekali mencabar keputusan mahkamah. Apa yang cuba dilakukan mereka sama sekali salah dan saya sudah bercakap dengan peguam untuk melihat apa tindakan yang boleh diambil kepada kumpulan itu.

“Jelas sekali mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan yang lebih menyedihkan, sengaja meraih perhatian Menteri Belia dan Sukan yang saya kira itu politik ‘kotor’ mereka.

“Kalau mahu main politik, berhenti saja daripada menjadi atlet atau jurulatih. Mari sama-sama bertanding (dalam AGM),” katanya semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, beberapa bekas atlet dan jurulatih olahraga kebangsaan yang diketuai bekas ratu 400 meter berpagar wanita Noraseela Khalid menyerahkan petisyen berhubung salah guna kuasa bekas Timbalan Presiden itu kepada Khairy.

Ketika mendapatkan ulasan Khairy berhubung tindakan kumpulan itu yang mahu beliau menghalang niat Karim daripada bertanding, beliau menjelaskan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan persatuan sukan itu, sebaliknya terletak kepada ahli perwakilan badan induk itu untuk memilih kepimpinan baru.

Karim berkata, beliau menasihatkan jurulatih pecut negara Hamberi Mahat agar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada latihan skuad olahraga negara daripada terus bermain ‘wayang’ untuk menyerang peribadinya.

“Saya tidak ada apa-apa masalah dengan jurulatih itu (Hamberi). Lagipun, jika menang jawatan itu nanti, saya tidak ada niat langsung membalas dendam kepada mana-mana individu yang cuba menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.

“Malah, saya boleh bekerjasama dengan mereka dalam apa jua program selepas ini kerana saya bertanding atas semangat sukarelawan, bukannya kemaruk kuasa dan wang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:04 AM