Kuala Lumpur: Drama perebutan kerusi nombor satu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akhirnya selesai pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-11, apabila saf kepemimpinan badan induk itu kini kembali diterajui orang lama.

Pada pemilihan pucuk pimpinan KOM penggal 2014-2016 itu, menyaksikan Datuk Karim Ibrahim berjaya memenangi jawatan Presiden menewaskan bekas Timbalan Presiden penggal lalu Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah gelagat bekas Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim apabila ditegur bekas Presiden penggal lalu Datuk Zainal Abidin Ahmad berhubung tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bermain tarik tali mengenai pendiriannya.

Pada awalnya, persaingan merebut jawatan tertinggi itu membabitkan saingan tiga penjuru antara Shahidan, Karim dan Wan Hisham selepas diumumkan pegawai pengundian, namun beberapa minit sebelum pengundian bermula menteri itu menarik diri hingga mencetuskan sedikit kekecohan.

“Saya sebagai presiden sekarang kesal dengan sikap beliau seolah-olah mengganggap AGM seperti ‘sarkas’. Selaku menteri kabinet, perkara seperti ini tidak patut berlaku,” kata Zainal kepada perwakilan sebelum pengundian dijalankan.

Pertandingan menjadi satu lawan satu membabitkan Karim dan Wan Hisham yang berlangsung lancar dan aman.

Karim membuktikan bahawa beliau lebih layak duduk dikerusi nombor satu KOM selepas mendapat undian tertinggi dengan 33 undi berbanding Wan Hisham sekadar memperoleh lapan undi.

Sementara itu, skrip yang sama turut menghiasi perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden antara dua seteru lama Datuk S M Muthu berdepan Datuk R Annamalai yang akhirnya di menangi Muthu yang juga Presiden Persatuan Olahraga Selangor (PPOS) dengan mengumpul 26 undi berbanding lawannya Annamalai 15 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, empat muka baru bakal membantu Karim yang diketuai Datuk Noorul Abdul Majeed (33 undi), Datuk Rosni Sohar (30), Iyaru Muthu Samy (27) dan Datuk Than Siew Kai (27).

Seramai 41 perwakilan daripada 14 ahli gabungan KOM hadir mengundi pada AGM kali ini di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:01 AM