Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar sebagai penderma organ pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Keempat Belas (MAPPA XIV) dan Persada Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ikrar itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sr Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Tan Sri Farida Mohd Ali.

"Ikrar ini memberi sinar harapan kepada lebih 19,000 pesakit yang memerlukan organ di negara ini. Ikrar derma organ bereti seseorang melahirkan hasrat untuk menderma organ selepas meninggal dunia.

"Sebelum ini, beberapa menteri kabinet lain sudah berikrar sebagai penderma termasuk Datuk Ser Dr S Subramaniam, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan menghargai sumbangan dan sokongan pemimpin tanahair terhadap kempen derma organ yang dijalankan kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 6:52 PM