SYAZWANI (kiri) dan  AIREEN.
SYAZWANI (kiri) dan AIREEN.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Mereka hanya sebahagian daripada ribuan golongan yang berikrar menderma organ. Keputusan ini kerana ingin memberikan kehidupan lebih baik kepada penghidap masalah organ.

Aireen Abd Rashid, 23, jururawat di Hospital Shah Alam (HSA) berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat penjelasan berhubung prosedur pendermaan organ.

“Kebanyakan orang salah tanggapan. Mereka fikir apabila kita berikrar bererti kita wajib menderma organ sedangkan ia terpulang kepada individu.

“Saya terfikir kenapa kita yang sihat dan berkemampuan menderma takut berbuat demikian walhal kita boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Seorang lagi penderma, Syazwani Wahab, 27, berkata, dia pada mulanya terpengaruh dengan berita negatif membabitkan pendermaan organ.

“Mula-mula saya sangsi mengisi borang ikrar derma organ, tetapi selepas membaca penjelasan daripada sudut pandangan agama, ianya boleh dilakukan dan tidak menyeksa mayat. Jadi saya pun terpanggil menjadi penderma organ sekiranya suatu hari nanti saya meninggal dunia.

“Tiada salahnya membantu golongan yang memerlukan. Kita tidak tahu mungkin suatu hari kita akan mengalami nasib sama atau berlaku dalam keluarga kita,” katanya yang bertugas sebagai jururawat.

Kedua-dua wanita prihatin itu ditemui di Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Penderma Organ Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan.

Ia dirasmikan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Azman Abu Bakar.

Program itu diadakan bermula 7 hingga 15 Oktober ini.

Berhubung keberkesanan program tahunan itu dalam menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai pengikrar, Azman berkata, sehingga 31 Ogos lalu, 394,809 mendaftar sebagai pengikrar di negara ini dengan 40.34 peratus ialah Cina, Melayu (30.61 peratus), India (22.79 peratus) dan lain-lain 6.27 peratus.

Beliau menambah, pemindahan organ diperlukan bagi pesakit yang mengalami kegagalan organ seperti buah pinggang yang mana kos haemodialisis setiap pesakit sekitar RM40,000 berbanding kos pembedahan pemindahan buah pinggang RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 5:50 AM