KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kadar pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia antara 10 negara yang terendah di dunia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan Cerapan Derma dan Pemindahan Organ Global, kadar transplantasi di Malaysia hanya 2.84 pembedahan bagi sejuta populasi pada tahun lalu berbanding 5.64 pembedahan dalam 2020.

Menurutnya, statistik terkini pendermaan organ dari Pusat Sumber Transplan Nasional pada Julai lalu hanya 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997.

"Sejak negara kita memulakan perkhidmatan transplantasi pada 1975, sebanyak 2,700 kes transplantasi dijalankan membabitkan pendermaan organ daripada penderma yang meninggal dunia dan daripada penderma hidup.

"Jumlah ini adalah masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pesakit kegagalan organ tahap akhir yang tinggi di negara ini dengan 10,442 orang pesakit yang masih menunggu mendapatkan derma organ di Malaysia setakat hari ini.

"Jumlah pengikrar penderma organ selepas kematian pula adalah seramai 517,758 orang sejak 1997 namun terdapat kes kebenaran untuk pembedahan tidak diberikan waris kerana tidak dimaklumkan ketika penderma masih hidup," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022, di Dataran Projek Perumahan Rakyat Seri Alam 2, di sini, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan pendermaan organ mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa selain mengurangkan kebergantungan kepada rawatan seperti pesakit buah pinggang.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima banyak permohonan untuk membuka pusat hemodialisis memandangkan ramai pesakit buah pinggang perlu menjalankan dialisis tiga kali seminggu.

"Inisiatif baharu yang akan dilaksanakan meningkatkan pendaftaran pengikraran pendermaan organ menerusi MySejahtera.

"Kemas kini boleh dibuat dalam tempoh sehari dua lagi menerusi MySejahtera dan maklumat penderma akan terus disalurkan kepada Pusat Sumber Transplan Nasional.

"Proses ikrar akan lebih mudah untuk rakyat dan diharapkan masyarakat lebih cakna mengenai pendermaan organ dan turut menyokong usaha ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 12:43 PM