DERMA organ dapat membantu individu yang sudah lama menunggu mendapatkannya.
DERMA organ dapat membantu individu yang sudah lama menunggu mendapatkannya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Penularan pandemik Covid-19 memberi cabaran besar dalam aktiviti pendermaan organ, tisu dan transplan di negara ini.

Ini kerana pandemik itu penyakit berjangkit yang menjadi ancaman kesihatan masyarakat.

Ia sekali gus menjejaskan usaha meningkatkan bilangan penderma organ bagi membantu penerima organ yang sudah menunggu lama untuk transplan organ.

Pengurus klinikal Perolehan Transplan Kebangsaan, Pusat Sumber Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Hasdy Haron berkata, keselamatan pesakit adalah perkara utama bagi pendermaan organ, tisu dan transplan.

"Oleh itu, kita perlu memastikan organ yang didermakan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

"Sebab itu, individu yang dijangkiti Covid-19 tidak boleh menderma organ dan tisu," katanya.

Dr Hasdy berkata, pesakit Covid-19 yang sudah pulih daripada jangkitan itu boleh dinilai semua untuk menjadi penderma organ dan tisu selepas ujian Covid-19 dijalaninya negatif.

"Kebiasaannya, kita akan melakukan ujian kesihatan semasa pendermaan organ dijalankan," katanya.

Dr Hasdy berkata, kesedaran pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Menurutnya, statistik terkini menunjukkan, 489,958 individu sudah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ. Setiap bulan kita menerima permohonan mendaftar sebagai penderma organ.

BUAH pinggang, jantung, hati dan paru-paru didermakan selepas kematian penderma.
BUAH pinggang, jantung, hati dan paru-paru didermakan selepas kematian penderma.

"Bagaimanapun, jumlah penderma organ sebenar (selepas kematian) hanyalah 745 orang," katanya.

Kata Dr Hasdy, banyak faktor yang menyebabkan ramai belum bersedia berikrar sebagai penderma organ.

"Pada pandangan saya, ini berkemungkinan disebabkan tidak mengetahui mengenai pendermaan organ, tidak mahu mengambil tahu atau tidak memperoleh maklumat yang tepat.

"Antara halangan lain ialah kefahaman mengenai pendermaan organ daripada konteks agama Islam secara umum, undang-undang dan aspek yang lain," katanya.

Menurut Dr Hasdy, disebabkan itu, Pusat Transplan Nasional mengambil inisiatif menganjurkan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ bertujuan memberi maklumat lebih jelas kepada masyarakat supaya bersedia mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

Dr Hasdy
Dr Hasdy

Dr Hasdy berkata, apabila mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, perkara yang perlu difahami ialah prosedur derma organ dilakukan selepas pengikrar meninggal dunia.

"Prosedur derma organ dan tisu hanya dilakukan setelah mendapat kebenaran keluarga yang kemudian didermakan kepada penerima organ.

"Tiada keistimewaan khusus diberikan kepada pengikrar penderma organ semasa mendaftar kerana dalam konteks pendermaan organ, tisu dan transplan ini, tiada unsur jual beli," katanya.

Jelasnya, faedah yang diberikan kepada keluarga kerana membenarkan pendermaan organ dan tisu ialah dikecualikan daripada membayar kos hospital selepas menjalani prosedur berkenaan.

"Derma organ dan tisu adalah amalan mulia kerana memberikan harapan kepada individu yang memerlukan organ. Ini adalah tanggungjawab semua dan penerima organ iaitu rakyat Malaysia yang dalam senarai menunggu," katanya.

Menurut Dr Hasdy, individu yang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ dan tisu tidak perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau siasatan kesihatan diri kerana transplan dijalankan selepas individu berkaitan meninggal dunia.

"Dalam situasi ini, doktor akan menilai semula kesesuaian pengikrar penderma organ untuk mengetahui sama ada organnya sesuai digunakan atau sebaliknya.

"Perkara yang perlu difahami daripada sudut undang-undang, walaupun penderma organ sudah berikrar, masih perlu mendapatkan kebenaran daripada waris.

PROSEDUR derma organ (selepas kematian) dilakukan dengan kebenaran keluarga.
PROSEDUR derma organ (selepas kematian) dilakukan dengan kebenaran keluarga.

"Ini sebenarnya cabaran kami untuk mendapatkan kebenaran waris kerana ada sebahagiannya tidak membenarkan prosedur itu diteruskan," katanya.

Katanya, beliau menasihati pengikrar penderma organ supaya memaklumkan kepada keluarga selepas mendaftar.

"Ini bagi mengelakkan timbul masalah berikutan banyak penolakan pendermaan organ adalah daripada keluarga sendiri.

"Ini kerana keluarga tidak mengetahui ikrar yang dilakukan pengikrar penderma organ untuk menderma organ selepas meninggal dunia.

"Selain itu, keluarga juga berasakan pendermaan organ tidak perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 7:00 AM