Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor dilantik Ketua Polis Daerah Brickfields menggantikan Senior Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah yang ditukar ke Bukit Aman.

Sharul Othman yang berkhidmat selama 33 tahun dengan PDRM sebelum ini menjawat jawatan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, beliau bertekad untuk meneruskan kecemerlangan IPD Brickfields yang diterajui oleh ketua polis sebelumnya dan berusaha untuk menurunkan kadar Jenayah di daerah ini.

"Saya akan meneruskan tradisi IPD Brickfields untuk turun padang sendiri dan bertemu dengan komuniti setempat untuk mengeratkan lagi silaturahim antara polis dan masyarakat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa dan Timbalannya Datuk Law Hong Soon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:59 PM