LEO (tengah) bersama Azman (kiri) ketika mengumumkan keputusan kewangan TNB, semalam.
LEO (tengah) bersama Azman (kiri) ketika mengumumkan keputusan kewangan TNB, semalam.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan keuntungan selepas cukainya (PAT) RM6.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2014 berbanding RM5.4 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, peningkatan RM1 bilion itu didorong oleh pengurangan kadar cukai korporat dan perkiraan semula peruntukan untuk anak syarikatnya.

Bagi tahun kewangan itu, TNB melaburkan perbelanjaan modal tertinggi dalam sejarah iaitu RM10 bilion berbanding RM8.5 bilion tahun lalu.

“Sebahagian daripada Capex itu, RM4.9 bilion atau 48.9 peratus diperuntukkan bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem untuk memastikan ia cekap, terjamin dan berdaya harap.

“TNB juga melabur RM4.4 bilion untuk membina stesen jana kuasa baru dengan kapasiti keseluruhan 3,700MW bagi memenuhi keperluan kapasiti masa depan,” katanya ketika mengumumkan keputusan kewangan TNB di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

Moggie berkata, pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tahun kewangan ini menurun sedikit iaitu pada kadar 2.5 peratus terutamanya disebabkan penggunaan lebih rendah oleh sektor besi dan keluli.

Sementara itu, Azman berkata, 2014 tahun kewangan mencabar bagi TNB kerana bermula dengan prospek yang cerah dan bertambahnya bekalan gas berikutan bermulanya operasi terminal regasifikasi.

Beliau berkata, bagaimanapun, semasa suku kedua, stesen janakuasa berasaskan arang batu milik Penjana Bebas dan TNB mengalami beberapa siri gangguan operasi tidak dirancang, seterusnya memaksa penggunaan LNG dan minyak yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:20 AM