DARI kanan Saritha, Fatin Nurfatihah, Nor Rizah  dan Norhayati Al-Madihah  menunjukkan emas  dimenangi.
DARI kanan Saritha, Fatin Nurfatihah, Nor Rizah dan Norhayati Al-Madihah menunjukkan emas dimenangi.

Pasukan memanah compound wanita puas apabila berjaya menamatkan penantian 10 tahun pingat emas Sukan SEA menerusi gandingan Saritha Cham Nong, Nor Rizah Ishak dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh menumpaskan Thailand 223-210 semalam.

Kali terakhir acara compound meraih emas pada Sukan SEA 2005 Manila.

Menurut Nor Rizah, sudah lama mereka menantikan pingat emas itu dan ia adalah hadiah kepada rakyat Malaysia serta ahli keluarga.

“Perancangan kami selepas ini terserah kepada Majlis Sukan Negara (MSN), kami sudah tunjukkan prestasi sebenar dan berharap kami mendapat perhatian sama rata seperti skuad recurve,” katanya selepas menamatkan aksi Padang Kriket Kallang semalam.

Sebelum ini trio berkenaan berjaya meraih kejayaan di Piala Dunia 2015 apabila meraih emas dengan menumpaskan Amerika Syarikat.

“Ketika beraksi tadi kami tidak tengok catatan mata terkini dan hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi memanah. Pasukan lawan memang memberi tentangan secara berterusan.

“Persiapan kami pula terlalu singkat, hanya seminggu berlatih bersama selapas masing-masing mempunyai komitmen kerja dan belajar, sebaik pulang dari Shanghai,” katanya.

Dalam pada itu kelebihan satu mata dalam aksi shoot-off membantu pasukan compound lelaki meraih emas.

Aksi akhir itu sangat mendebarkan apabila kedua-dua pasukan terikat 222 mata sama, namun gandingan Zulfadhli Ruslan, Mohd Juwaidi Mazuki dan Lee Kin Lip tenang memenangi aksi penentuan 30-29.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 9:46 AM