Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya mempunyai 10 adik-beradik. Arwah ayah tidak membuat wasiat sewaktu hayatnya.

Ketika hidup, arwah ayah mempunyai sebuah rumah Felda dan duit simpanan (tidak termasuk di dalam bank, hanya simpan di rumah). Sebelum meninggal, dia mengamanahkan rumah Felda itu kepada kakak ketiga, malah nama pemilik rumah itu turut ayah tukar daripada namanya kepada kakak. Selepas arwah meninggal, segala duit simpanannya digunakan oleh kakak saya.

Untuk pengetahuan ustaz, duit simpanan digunakan untuk membuat kenduri arwah, sedekah kepada rumah orang tua dan perbelanjaan seharian kakak kerana dia tidak bekerja dan juga ibu tunggal. Persetujuan dan perbincangan berkenaan kegunaan duit simpanan arwah tidak dilakukan oleh kakak bersama adik-beradik yang lain.

Setiap bulan Felda memberi wang sara hidup kepada setiap penerokanya. Selama dua tahun ayah meninggal dunia, tidak pernah saya menerima wang bahagian saya, begitu juga dengan adik-beradik lain.

Puas saya menegur kakak berkenaan pembahagian duit arwah ayah tetapi tidak diendahkan. Alasannya, duit dibelanjakan untuk bersedekah dan membuat amal. Katanya, dia mempunyai hak untuk membahagikan ataupun tidak duit sebab rumah Felda atas namanya.

Soalannya, bolehkah duit itu dibelanjakan tanpa persetujuan semua adik-beradik? Bagaimana dengan amalan sedekah yang dilakukan, adakah sia-sia?

Sekiranya saya sekeluarga balik untuk melawat kakak dan tidur beberapa malam, bagaimana makanan yang kami sekeluarga makan, boleh atau tidak? Adakah benar dari segi hukum syarak rumah Felda itu kepunyaan kakak seorang?

MISA, Muar, Johor

Apabila seseorang meninggal dunia, hartanya perlu diuruskan bukan saja faraid malah ditunaikan hutang dalam bentuk ibadat seperti haji, hutang harta benda, sedekah, wakaf, wasiat dan hibah. Semua perkara disebut terkandung dalam syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) antara ahli fard‘idh (waris) berdasarkan Kitabullah.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Berdasarkan maklumat ringkas di atas, ada banyak kemungkinan yang sepatutnya dirujuk kepada pakar dalam bidangnya serta alim ulama. Perkara di atas perlu dibincang segera kerana ia akan menyebabkan pertelagahan waris yang terkemudian. Kemungkinan harta dihibah kepada kakak itu yang menyebabkan pihak lain tidak terbabit lagi dengan pengurusan. Oleh itu sebarang persoalan yang saudari pertikaikan tidak timbul.

Kemungkinan juga arwah ayah yakin dengan pengurusan yang kakak anda lakukan atau mewasiatkan kepadanya untuk melakukan sedekah dengan duit itu. Wallahualam.

Oleh itu, ditegas kepada saudari, buatlah kata putus dan penegasan. Sekiranya saudari juga mahu menuntut, maka tuntutlah dengan seadilnya atau mahu diserahkan kepada kakak yang tidak bekerja itu. Dikhuatiri akan merosakkan hubungan kekeluargaan selepas saudari tiada.

Apa yang penting, hubungan kekeluargaan jangan diputuskan hanya kerana harta dunia semata. Malah hubungan kekeluargaan lebih penting untuk dijaga dan dipelihara. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 1:14 AM