NAZRUL Irwan dan Zila Bakarin.
NAZRUL Irwan dan Zila Bakarin.
Oleh Michelle Gun

Bersempena Ramadan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Cindai di saluran TV1 menyiarkan drama bersiri berjudul Mencari Luqmanul Hakim yang sarat dengan pengajaran dan keinsafan.

Menemui penonton mulai 15 Jun ini, drama itu bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.05 petang.

Ia menampilkan barisan pelakon Nazrul Irwan Zulkifli, Ana Dahlia, Norman Hakim, Zila Bakarin, Raja Ema, Adrell Aryana, Solehin Rashid dan Wan Maimunah.

Mencari Luqmanul Hakim mengisahkan Luqman kembali ke tanah air untuk bertugas sebagai kaunselor bebas selepas menamatkan pengajian di Mesir.

Sikapnya yang berhemah menyebabkan dia disenangi rakan sekerja selain menjadi pujaan ramai wanita.

Berikutan itu, isteri Luqman, Sufiah mula rasa cemburu kerana lelaki berkenaan sering menerima panggilan telefon daripada wanita.

Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, Sufiah gagal melahirkan zuriat kerana masalah kesuburan. Pada masa sama, Luqman turut berdepan dengan masalah keluarga.

Sementara itu, Maisara pula mengalami tekanan perasan ekoran sikap suaminya, Herman yang suka mengamalkan kehidupan yang bertentangan dengan nilai agama Islam.

Manakala anak perempuan sulungnya, Natasya turut mengikut perangai Herman dan anak lelaki bongsu, Faiz mengamalkan hubungan songsang.

Dalam pada itu, Maisara meminta Luqman membimbing keluarganya. Pada peringkat awal, usaha Maisara mendapat tenta­ngan daripada Herman, Natasya dan Faiz.

Bagaimanapun lama kelamaan, keadaan mula berubah dan Natasya mula jatuh cinta dengan Luqman dan sanggup berjumpa dengan Sufiah untuk meminta izin untuk dia berkahwin dengan lelaki itu.

Sufiah terpaksa merelakan demi zuriat dan kebahagiaan Natasya, lebih-lebih lagi dia sedar wanita itu amat memerlukan Luqman kerana memahami situasinya.

Malangnya dalam diam, Maisara turut jatuh cinta dengan Luqman tanpa mengetahui anak perempuannya mempunyai perasaan istimewa terhadap lelaki itu.

Maisara meluahkan perasaannya terhadap Luqman menyebabkan lelaki itu terkilan, namun menjelaskan supaya berjumpa dengan Sufiah untuk meminta keizinan hidup bermadu.

Rakan baik Maisara iaitu Rubiah merancang menjatuhkan keluarga Herman. Ini kerana suatu ketika dulu, bapa Herman dan rakan baik bapanya.

Namun apabila bapa Rubiah bankrap, harta milik keluarganya jatuh ke tangan keluarga Herman. Rubiah yang melihat penderitaan ibunya, nekad membalas dendam terhadap keluarga Herman.

Faiz yang pada mulanya menentang Luqman, akhirnya insaf selepas lelaki itu menceritakan mengenai pembalasan Allah terhadap kaum Nabi Luth yang me­ngamalkan seks sejenis.

Herman pula rasa tercabar dengan keakraban keluarganya dengan Luqman dan menggunakan Vivian untuk memerangkap lelaki itu. Vivian kemudian menghubungi Luqman dan tanpa mengesyaki apa-apa, dia ke tempat yang dijanjikan untuk berjumpa dengan wanita itu.

Saksikan kesudahan Luqman dan keluarga Herman dalam Mencari Luqmanul Hakim di TV1 mulai 15 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 4:09 PM