AMBIL masa hampir setahun untuk tampil dengan lagu kedua selepas kejayaan Kepuraanmu.
AMBIL masa hampir setahun untuk tampil dengan lagu kedua selepas kejayaan Kepuraanmu.
Najiy Jefri


PENYANYI lagu Kepuraanmu, Luqman Faiz mengakui terkilan apabila tidak memperkenalkan lagu baharu secepat mungkin selepas kemunculan lagu pertamanya.

Kata Luqman, dia mengambil masa hampir setahun untuk mengeluarkan lagu kedua yang berjudul Takhta Cinta sehingga tidak menerima impak sehebat Kepuraanmu.

Lagu popularnya yang sangat menyengat dan diminati ramai itu hingga kini sudah meraih 28 juta tontonan di laman YouTube.

Bagaimanapun, Luqman bersyukur apabila lagu Takhta Cinta hanya mampu meraih sejuta tonton selepas dilancarkan setahun lalu.

"Ada sedikit kekesalan apabila mengambil masa hampir setahun untuk tampil dengan lagu kedua ini. Saya lihat formula yang dibuat sesetengah penyanyi, mereka akan memperkenalkan lagu baharu sebaik berasakan sambutan karya terdahulu sudah mula berkurang.

"Apabila lagu pertama semakin sendu, mereka akan segera memperkenalkan karya baharu yang mantap. Dari situ, peminat akan nampak kesinambungan kerjaya seseorang penyanyi itu.

"Selain itu, saya juga membuat pilihan kurang tepat apabila tidak memilih lagu balada. Kononnya, ingin mencuba rentak muzik baharu yang menampilkan kelainan, tapi ternyata rezeki saya lebih terarah kepada muzik balada," katanya.

Bagi Luqman, untuk lagu ketiganya dia masih cuba tampilkan kelainan apabila memilih genre reggaeton. Namun, belum sempat lagu berjudul Loco-Loco itu dilancarkan, dia terpaksa akur apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

"Kami merancang melancarkan lagu itu pada Mac lalu bersempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-20, tapi malangnya, hasrat itu terkubur berikutan PKP.

"Nampaknya impian untuk melihat lagu itu dilancarkan tidak kesampaian, apabila kami memilih untuk memasukkan lagu berkenaan ke dalam album saja.

"Selepas ini saya akan muncul dengan sebuah lagu daripada Sirkhan. Kemudian, selepas itu barulah saya akan muncul dengan lagu sentuhan sendiri yang bergenre balada. Saya melihat genre balada adalah kekuatan saya, jadi saya mahu hasilkan lagu dengan genre itu.

"Lagu itu nanti berkisar mengenai seorang lelaki yang ditinggalkan kekasih dan kemudian berkahwin dengan lelaki lain tanpa pengetahuannya. Ia adalah kisah benar yang berlaku kepada teman serumah saya.

"Lagu itu bergenre 1990-an, tetapi saya berikan suntikan moden. Melodi dan lirik lagu itu saya siapkan dalam tempoh tidak sampai sejam dan saya cuba letakkan diri di tempat rakan," katanya.

Kata Luqman, dia meletakkan harapan tinggi untuk lagu baharu itu dan berharap karya berkenaan mampu meraih populariti sebagaimana lagu pertamanya.

Sementara itu, bercerita mengenai hubungannya cintanya sendiri yang kecundang, Luqman akui masih berkawan baik dengan bekas kekasih yang juga rakan kongsi perniagaan tudungnya.

"Walaupun hubungan kami sudah berakhir, hingga kini alhamdulilah kekal bersikap profesional demi kerja kerana saling menghormati.

"Apa-apa pun, kami masih berjumpa kerana bekas teman wanita adalah rakan kongsi saya dalam Daunshawl.

"Ada masa, saya masih ke rumahnya untuk menghantar stok tudung. Hubungan kami kini lebih bersifat profesional dan berkawan baik ," katanya.

Kata Luqman, yang pasti untuk menjalin kembali hubungan cinta yang terputus itu, baginya tidak mungkin akan terjadi kecuali memang sudah jodoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:02 AM