Jonathan mengungguli kejohanan simulasi. FOTO NSTP
Jonathan mengungguli kejohanan simulasi. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil berpuas hati dengan prestasi dan persembahan dipamerkan anak buahnya, walaupun hanya beraksi dalam kejohanan simulasi serta bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, jika dilihat dari segi prestasi beliau sangat berpuas hati kerana ini adalah kejohanan pertama untuk anak buahnya sejak Mac lalu selepas pandemik Covid-19 menyebabkan kejohanan antarabangsa dibatalkan atau ditangguhkan.

"Kita bukan menjangkakan atau tidak, tapi sekurang-kuranya kita nampak mereka bersaig sesama sendiri selepas setahun kita tidak pasti siapa yang terbaik. Jadi siapa yang terbaik hari ini dialah yang terbaik tahun ini. Satu persaingan yang baik antara Jonathan Nyepa dan Muhammad Haiqal Hanafi," katanya.

Jonathan memenangi dua pingat emas dalam acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.60saat (s) menewaskan Haiqal di tempat kedua, 10.65s. Berada di tempat ketiga adalah Muhammad Azeem Mohd Fahmi dengan catatan 10.94s.

Jonathan juga meraih kemenangan dalam acara 200m dengan catatan 21.46s. Berada di tempat kedua adalah Luqmanul Hakim Khairul Akmal yang meraih catatan 21.87s dan Ruslem Zikry Putra Roseli melengkapkan podium di tempat ketiga, 22.09s.

Karnival Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) bermula hari ini dengan beberapa jenis sukan dipertandingkan termasuk olahraga, memanah, menembak, berbasikal, tenpin bowling dan gimnastik.

"Atlet lain seperti Luqman Hakim Ramlan dan Andre Anura Anuar juga beraksi dengan baik. Luqman mengekalkan prestasinya dengan melakukan catatan 7.85 meter.

"Sudah lama mereka menunggu untuk beraksi saya rasa setidak-tidaknya kejohanan ini menaikkan motivasi mereka. Kali ini mereka boleh memanaskan badan dengan betul dan bersaing seperti di kejohanan sebenar," kata Manshahar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:49 PM